TEHRAN : Seorang penganalisis politik Iran menyifatkan sekatan ekonomi terbaharu yang diumumkan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, sebagai usaha untuk meningkatkan tekanan terhadap Tehran, lapor Al Jazeera.
Penganalisis kanan Pusat Pengajian Strategik di Tehran, Ali Akbar Dareini, berkata pendekatan itu boleh disamakan dengan apa yang digelarnya sebagai "strategi anaconda", iaitu usaha melemahkan sesebuah negara melalui tekanan ekonomi dan politik yang berterusan.
Menurut beliau, langkah itu diambil selepas Washington gagal mencapai matlamat tertentu menerusi pendekatan lain dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Dareini bagaimanapun berkata Iran mempunyai pengalaman menghadapi pelbagai sekatan antarabangsa dan bersedia untuk terus berdepan tekanan baharu.
Beliau turut mendakwa pentadbiran Trump berdepan cabaran untuk mencapai objektif strategiknya di Asia Barat.
Kenyataan itu dibuat selepas Trump mengumumkan pelaksanaan sekatan baharu terhadap Iran susulan kegagalan rundingan antara kedua-dua negara mencapai persetujuan.
Beliau turut memberi amaran bahawa mana-mana negara yang membantu Tehran mungkin berdepan tindakan sekatan sekunder oleh Washington.
Sementara itu, Menteri Luar Iran Abbas Araghchi menolak langkah berkenaan dan menyifatkannya sebagai cubaan untuk mengalih perhatian daripada isu domestik yang sedang dihadapi AS.
Menurut beliau, tekanan ekonomi tambahan itu tidak akan mengubah pendirian Tehran terhadap isu-isu utama yang menjadi pertikaian di antara kedua-dua negara.