BRUSSELS: Gelombang haba terus melanda selatan Perancis pada Isnin, dengan enam wilayah pentadbiran diletakkan di bawah amaran gelombang haba tahap jingga manakala suhu dijangka mencecah 39 darjah Celsius, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik penyiar BFMTV.
Menurut Meteo-France yang dipetik BFMTV, wilayah Aude, Herault, Gard, Vaucluse, Drome dan Ardeche kekal di bawah amaran jingga apabila suhu di kebanyakan kawasan di bahagian selatan negara itu kekal melebihi 20 darjah Celsius pada awal pagi Isnin.
Suhu mencecah 26 darjah Celsius di Nice manakala Montpellier merekodkan 23 darjah Celsius dan Nimes serta Montelimar masing-masing 21 darjah Celsius, menurut perkhidmatan cuaca kebangsaan.
Suhu pada waktu siang dijangka meningkat antara 35 hingga 38 darjah Celsius di kawasan tenggara, dengan sesetengah kawasan diramalkan mencecah 39 darjah Celsius.
Menurut Meteo-France, suhu dijangka turun sedikit pada Selasa sebelum merosot dengan ketara pada Rabu apabila jalur hujan dan ribut petir bergerak merentasi wilayah berkenaan.
Amaran gelombang haba tahap jingga dijadualkan ditamatkan di semua wilayah yang terjejas pada pagi Selasa.
Beberapa lokasi merekodkan suhu September yang luar biasa tinggi pada Ahad.
Albi di wilayah Tarn merekodkan 39.2 darjah Celsius, Auch di Gers 38.4 darjah Celsius, Toulouse-Blagnac 37.9 darjah Celsius, Marseille-Marignane 36.8 darjah Celsius dan Aurillac 34 darjah Celsius.
Di Durban-Corbieres, Wilayah Aude, suhu meningkat sehingga 40.8 darjah Celsius, sekali gus mencatat rekod baharu suhu tertinggi kebangsaan bagi September.
Gelombang haba terbaharu itu merupakan sebahagian daripada siri kejadian cuaca panas melampau yang melanda Perancis tahun ini.
Satu episod pada akhir Jun mencapai tahap rekod intensiti manakala satu lagi yang berlaku dari akhir Julai hingga Ogos berlarutan selama 23 hari, menyamai gelombang haba paling lama pernah direkodkan di Perancis pada 1983.
-- BERNAMA-ANADOLU