RIBUAN anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan kebakaran hutan di Portugal, Sepanyol dan Perancis di sebalik gelombang haba yang melanda Eropah ketika ini.

Di utara Portugal, seorang juruterbang terkorban selepas pesawat pengebom air yang dikendalikannya terhempas di Foz Coa, berdekatan dengan sempadan Sepanyol.

Api terus marak di wilayah Gironde, selatan Perancis yang memaksa lebih 12,000 penduduk dipindahkan.

Di selatan Sepanyol, kira-kira 2,300 penduduk di Costa del Sol diarah berpindah selepas kebakaran hutan merebak di kawasan bukit di Mijas.

Kebakaran itu turut disaksikan pelancong di Pantai Torremolinos di mana beberapa pesawat telah dikerah dalam usaha memadamkan api.

Sementara itu di selatan Bordeaux, kebakaran hutan telah memusnahkan kawasan seluas 10,000 hektar.

Ketika ini kira-kira 3,000 anggota bomba telah dikerah bagi memadam kebakaran tersebut.

Gelombang haba sejak Selasa lepas telah menyebabkan suhu di Portugal meningkat sehingga 47 darjah Celsius manakala Sepanyol mencatatkan suhu setinggi 40 darjah Celsius.

Setakat ini lebih 300 mangsa terkorban akibat suhu panas berkenaan di kedua-dua negara, memetik laporan agensi berita Efe.

Di Itali, kerajaan telah mengisytiharkan keadaan darurat di Po Valley.

Manakala di Greece, anggota bomba dikerah bagi memadamkan api di Feriza, kira-kira 50 kilometer di selatan Athens dan penduduk di tujuh perkampungan di Rethymno telah diarah berpindah.

Gelombang haba turut dirasai di utara Maghribi di mana beberapa kawasan perkampungan di wilayah Larache, Ouezzane, Taza dan Tetouan musnah akibat kebakaran hutan.

Sekurang-kurangnya seorang dilaporkan terkorban di Ksar El Kebir akibat kebakaran tersebut.