NICOSIA: Gelombang haba mula melanda Cyprus, dengan suhu 41 darjah Celsius direkodkan di Nicosia, menurut perkhidmatan meteorologi negara itu pada Khamis, lapor Xinhua.

Suhu dijangka meningkat kepada 43 darjah Celsius pada Jumaat dan kekal melebihi 25 darjah Celsius pada sebelah malam, justeru perkhidmatan meteorologi mengeluarkan amaran suhu tinggi, berkuat kuasa dari pukul 9 malam hari Khamis hingga 6 petang Jumaat.

Selain itu, Jabatan Tenaga Kerja sektor awam turut mengeluarkan arahan keselamatan untuk mereka yang bekerja di luar rumah.

Jika suhu atau kelembapan terus menyaksikan lonjakan dalam beberapa hari lagi, bekerja di luar akan dilarang sama sekali pada waktu tengah hari, kata jabatan itu.

Kerajaan bandar Nicosia mempelawa penduduk yang tidak mempunyai penghawa dingin yang mencukupi di rumah, supaya berlindung pada siang hari di pusat khas berhawa dingin yang telah disediakan.

Pusat itu turut menyediakan makanan dan minuman.

Gelombang haba turut menjejaskan kebanyakan negara Eropah, menyaksikan suhu lebih 40 darjah Celsius direkodkan di beberapa negara, termasuk Sepanyol, Poland, Itali dan Greece.

Suhu sehingga 38 atau 39 darjah Celsius bukanlah sesuatu yang luar biasa di Cyprus pada bulan Julai dan Ogos.

Bagaimanapun, suhu tertinggi 46.2 darjah Celsius pernah dicatatkan pada 4 Sept 2020 di Nicosia.

Di Greece, Cyprus dan Israel yang mempunyai sistem pemantauan cuaca yang sama, gelombang haba dikenali sebagai "Cleon".

-- BERNAMA