KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) menumpaskan kegiatan penyelewengan diesel bersubsidi selepas menyerbu sebuah premis di Puchong, Selangor, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan berjumlah RM919,022.40.
Komander Biro Jenayah Hidupan Liar/Perisikan Siasatan Khas (WCB/PSK), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman Datuk Mohd Zaki Ashar berkata serbuan menerusi Ops Taring Bravo 1 yang bermula 3.30 pagi tadi dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.
Beliau berkata dalam operasi yang tamat pada 1.30 tengah hari itu, pasukan operasi menahan dua lelaki warga tempatan berusia 33 dan 64 tahun.
“Siasatan awal mendapati kedua-dua individu berkenaan masing-masing dipercayai bertindak sebagai penjaga premis dan pemandu lori,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mohd Zaki berkata premis berkenaan dipercayai beroperasi sebagai lokasi penyimpanan serta pengendalian diesel bersubsidi tanpa lesen atau permit yang sah.
Katanya, hasil pemeriksaan di lokasi menemukan tujuh buah tangki skid serta tiga buah lori tangki pelbagai kapasiti yang mengandungi secara keseluruhannya kira-kira 51,900 liter diesel bernilai RM231,993.
Beliau berkata turut dirampas, sebuah pam elektrik berserta hos dan kes kini disiasat mengikut Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
Mohd Zaki berkata kedua-dua individu dan barang rampasan diserahkan kepada KPDN Selangor untuk siasatan lanjut bagi mengenal pasti sumber bekalan, rangkaian pengedaran serta meneliti tempoh operasi premis berkenaan.
Sementara itu, beliau berkata sepanjang tempoh 1 Jan hingga hari ini, WCB/PSK telah melancarkan 241 serbuan di seluruh negara dengan penahanan 415 individu atas pelbagai kesalahan dan nilai rampasan keseluruhan berjumlah RM315,104,274.04.
-- BERNAMA