SEOUL: Suhu melonjak ke paras tertinggi di bahagian tenggara Korea Selatan pada Rabu, dengan Busan mencatatkan suhu tertinggi sepanjang masa dalam tempoh 122 tahun ketika gelombang haba yang kuat melanda negara itu, lapor Agensi Berita Yonhap.
Bandar Yangsan di bahagian tenggara merekodkan suhu 40.3 darjah Celsius pada 3.34 petang (waktu tempatan) iaitu paras tertinggi sejak 2008, iaitu tahun agensi cuaca negara itu mula mengumpul data cuaca di bandar berkenaan, menurut Pentadbiran Meteorologi Korea (KMA).
Bandar itu sebelum ini mencatatkan suhu 39.3 darjah Celsius pada Ahad, menyamai rekod terdahulu yang dicatatkan pada 2024.
Suhu di bandar pelabuhan berhampiran, Busan, mencecah 38.8°C pada 2.56 petang, mengatasi rekod terdahulu 37.3°C yang dicatatkan pada 2016, sekali gus menjadi suhu tertinggi sejak rekod cuaca bandar itu mula disimpan pada 1904.
Agensi berkenaan mengaitkan gelombang haba yang melanda dengan pengaruh serentak sistem tekanan tinggi Pasifik Utara dan Tibet, serta menjangkakan keadaan tersebut akan berterusan sehingga penghujung minggu hadapan.
Terdahulu pada hari yang sama, KMA menaikkan tahap nasihat gelombang haba kepada amaran penuh bagi kawasan timur dan barat daya Seoul, menandakan amaran gelombang haba kedua bagi ibu negara itu pada musim panas ini.
Amaran gelombang haba dikeluarkan apabila suhu ketara maksimum dijangka kekal melebihi 35°C selama dua hari berturut-turut atau lebih.
Menurut KMA, suhu ketara mencecah 35.1°C di selatan Seoul pada 3 petang. Susulan itu, kerajaan metropolitan Seoul telah membuka pejabat pentadbiran tempatan untuk kegunaan orang ramai menyejukkan diri.
Pihak bandar raya juga telah mengehadkan kerja luar antara pukul 2 hingga 5 petang di tapak pembinaan milik pihak berkuasa tempatan, serta mengesyorkan agar tapak pembinaan swasta turut melaksanakan langkah yang sama.
-- BERNAMA-YONHAP