Skip to main content

Dunia

Gempa bumi Columbia: Presiden janji dana pemulihan, operasi cari mangsa masuk fasa kritikal

Colombia's President Abelardo de la Espriella delivers a statement on recovery efforts following Monday's earthquake, which struck several major cities in western Colombia, at San Carlos Palace in Bogota, Colombia, August 12, 2026. REUTERS/Jose Vargas
Presiden Abelardo De La Espriella, berjanji menubuhkan dana kecemasan bagi membina semula hospital, sekolah, rumah dan infrastruktur yang musnah akibat gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada Isnin. - Gambar Reuters
Advertisement

CALI, COLOMBIA: Presiden Colombia, Abelardo De La Espriella, berjanji menubuhkan dana kecemasan bagi membina semula hospital, sekolah, rumah dan infrastruktur yang musnah akibat gempa bumi kuat yang melanda negara itu pada Isnin.

Gempa bermagnitud 7.4 yang berlaku hanya tiga hari selepas beliau mengangkat sumpah jawatan setakat ini mengorbankan 265 orang, manakala hampir 500 lagi masih hilang.

Dalam ucapan kepada negara, De La Espriella menyifatkan kejadian itu sebagai tragedi besar dan menegaskan keutamaan kerajaan ketika ini adalah mencari mangsa yang masih belum ditemui.

Beliau turut mengumumkan darurat ekonomi bagi menangani kerosakan akibat bencana berkenaan, namun belum memperincikan langkah yang akan dilaksanakan.

Datuk Bandar Cali, Alejandro Eder, berkata pasukan penyelamat kini berpacu dengan masa kerana tempoh kritikal 72 jam untuk menemukan mangsa yang masih hidup semakin hampir berakhir.

Pihak berkuasa menganggarkan kira-kira 3,770 orang cedera manakala lebih 9,550 kediaman musnah akibat gempa tersebut.

Bandar Pereira mencatatkan 83 kematian, manakala Cali merekodkan 74 korban, menjadikannya antara kawasan paling terjejas.

Operasi mencari dan menyelamat di Cali kini tertumpu kepada beberapa bangunan yang dipercayai masih menempatkan mangsa yang terperangkap di bawah runtuhan.

Pegawai penyelamat turut berdepan risiko gempa susulan selain cabaran mengendalikan operasi di kawasan runtuhan yang tidak stabil.

Di Palmira dan Pereira, keluarga mangsa terus menunggu proses pengecaman mayat serta berita mengenai ahli keluarga yang masih hilang, dengan banyak kisah tragis dilaporkan akibat bencana itu.

Sementara itu, sektor kopi yang menjadi nadi ekonomi Colombia turut terkesan apabila beberapa laluan utama mengalami tanah runtuh, walaupun eksport masih diteruskan melalui pelabuhan di pesisir Caribbean.

Penganalisis berpendapat bencana ini merupakan ujian pertama buat Presiden baharu Colombia, yang sebelum ini berkempen atas agenda pengurangan perbelanjaan awam, namun kini berdepan cabaran besar menguruskan bantuan, pemulihan serta usaha menyelamat di seluruh kawasan terjejas.

Must Watch Video

Advertisement