Skip to main content

Dunia

Gempa bumi kuat di Venezuela, lebih 32 penduduk maut, lebih 700 cedera

[TB]_earthquakes La Guaira_REUTERS
Angka korban dijangka terus meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di kawasan yang terjejas teruk, khususnya di wilayah La Guaira yang diisytiharkan sebagai zon bencana. - Foto Reuters
Advertisement

CARACAS: Sekurang-kurangnya 32 penduduk maut manakala lebih 700 lagi cedera selepas dua gempa bumi kuat yang berlaku selang kurang seminit menggegarkan utara Venezuela pada petang Rabu.

Memetik laporan BBC, dua gempa bumi berturut-turut itu turut menyebabkan kemusnahan besar termasuk keruntuhan bangunan dan kerosakan infrastruktur di ibu negara, Caracas.

Presiden Interim Venezuela, Delcy Rodríguez berkata, angka korban dijangka terus meningkat berikutan operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di kawasan yang terjejas teruk, khususnya di wilayah La Guaira yang diisytiharkan sebagai zon bencana.

Beliau berkata, pasukan penyelamat masih berusaha mengesan dan mengeluarkan mangsa yang dipercayai terperangkap di bawah runtuhan bangunan.

Menurut pihak berkuasa Venezuela, gempa pertama berukuran 7.2 magnitud berlaku kira-kira jam 6 petang waktu tempatan sebelum disusuli gempa kedua yang lebih kuat, berukuran 7.5 magnitud kurang seminit kemudian.

Bencana itu menyebabkan kerosakan meluas di Caracas serta beberapa negeri lain, manakala lapangan terbang utama negara itu terpaksa ditutup selepas mengalami kerosakan struktur.

Sementara itu, Perkhidmatan Geologi Amerika Syarikat (USGS) memberi amaran bahawa jumlah korban mungkin meningkat dengan ketara berdasarkan penilaian awal kesan bencana berkenaan.

Analisis agensi itu menunjukkan terdapat kebarangkalian 44 peratus bahawa angka kematian boleh melebihi 10,000 orang sekiranya tahap kerosakan yang berlaku lebih meluas daripada jangkaan awal.

Gempa bumi itu berlaku ketika Venezuela sedang menyambut cuti kebangsaan, menyebabkan ramai penduduk berada di rumah ketika gegaran melanda. Keadaan itu dipercayai menyumbang kepada jumlah mangsa yang tinggi.

Dalam perkembangan berkaitan, Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, menyatakan kesediaan negaranya untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan dan perubatan kepada Venezuela bagi membantu usaha menyelamat serta pemulihan pasca bencana.

Must Watch Video

Advertisement