GAZIANTEP: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) hari ke tujuh mangsa gempa bumi di sini, diteruskan dengan keutamaan diberikan kepada aspek tinjauan di sekitar Nurdagi, bagi mencari kawasan runtuhan yang dipercayai mempunyai mangsa yang masih hidup.

Pada pukul 9 pagi tadi (2 petang waktu Malaysia) pasukan peninjau MAS-01 SMART dan MAS-10 telah memulakan tinjauan mereka dengan bantuan dua pemandu arah dan dua penterjemah.

Kawasan tinjauan melibatkan tujuh tapak kerja di sektor empat Gaziantep meliputi kawasan bandar Nurdagi yang padat dengan bangunan komersial, hotel dan kompleks kediaman yang dianggarkan seluas kira-kira 20 kilometer.

Kawasan runtuhan di mana lima sekeluarga berjaya diselamatkan oleh pasukan SAR Malaysia pada Sabtu juga merupakan kawasan yang telah ditinjau dan diperiksa terlebih dahulu oleh pasukan peninjau.

Pemerhatian Bernama di sekitar kawasan itu mendapati cuaca di Nurdagi semakin sejuk dengan suhu mencecah paras -10 darjah Celsius, pada awal pagi Ahad.

Suhu di Nurdagi yang mempunyai populasi seramai kira-kira 40,780 orang dijangka semakin menurun menjelang malam dan keadaan dilihat semakin terdesak bagi mangsa-mangsa gempa bumi di kawasan terlibat.

Kehadiran anggota polis dan tentera yang lengkap bersenjata juga semakin ramai dan kerap melakukan rondaan di sekitar pusat operasi pasukan SAR antarabangsa termasuk berhampiran pusat operasi pasukan SAR negara yang terletak di Stadium Nurdagi.

Bangunan di sekeliling pusat operasi turut menempatkan tiga pusat bantuan untuk mangsa bencana gempa bumi dengan kemudahan makanan, minuman, pakaian dan selimut.

Sejak ketibaan petugas media di sini pada awal pagi Jumaat lepas, pergerakan kami diperhatikan oleh anggota polis tempatan, malah mereka meminta untuk melihat gambar dan video yang diambil semasa membuat liputan operasi SAR pasukan penyelamat negara.

Bagaimanapun tiada perkara buruk berlaku berikutan semua petugas media di sini telah diberi penerangan terlebih dahulu oleh Komander Kontinjen Mohd Khairul Jamil mengenai sensitiviti masyarakat di sini.

Gempa bumi besar berukuran 7.8 pada skala Richter yang melanda selatan Turkiye dan barat laut Syria pada Isnin lepas telah meragut lebih 24,000 nyawa. Kesan gegaran turut dirasai di Cyprus dan Lubnan.

Turkiye pada Selasa mengisytiharkan darurat selama tiga bulan di 10 wilayah iaitu Adana, Adiyaman, Diyarbakir, Gaziantep, Hatay, Kahramanmaras, Kilis, Malatya, Osmaniye dan Sanliurfa bagi memastikan misi SAR berjalan lancar.

-- BERNAMA