Gempa kuat gegar timur laut Jepun, amaran mungkin disusuli gempa lebih besar

Asap tebal kelihatan membumbung dari lokasi kebakaran di Aomori, utara Jepun, susulan gempa bumi kuat yang melanda lewat malam Isnin. - Foto AP
TOKYO: Gempa bumi kuat dengan magnitud awal 7.5 melanda timur laut Jepun lewat malam Isnin, dan agensi cuaca mengeluarkan amaran tsunami bagi kawasan pantai Hokkaido serta wilayah Aomori dan Iwate sebelum menariknya semula beberapa jam kemudian.
Ringkasan AI
- Gempa bumi kuat magnitud 7.5 di luar pantai Jepun, mengakibatkan amaran tsunami untuk kawasan Hokkaido, Aomori, dan Iwate sebelum ditarik balik beberapa jam kemudian.
- Agensi Meteorologi Jepun memberi amaran bahawa gempa tersebut meningkatkan kemungkinan berlakunya gempa bumi berkuasa serupa atau lebih besar dalam tempoh beberapa hari akan datang.
- Perdana Menteri Jepun menyeru orang ramai untuk bersedia dan mengikuti arahan pihak berkuasa serta meningkatkan kewaspadaan selepas gempa, dengan lebih 10 kecederaan dilaporkan tanpa kematian setakat ini.
Pejabat Kabinet Jepun menyeru orang ramai supaya kekal berjaga-jaga sekurang-kurangnya seminggu, antaranya dengan memastikan kit bekalan kecemasan sentiasa mudah dicapai agar mereka boleh berpindah pada bila-bila masa jika perlu.
Gempa berlaku di kawasan sepanjang palung di luar pantai Hokkaido dan timur laut Jepun, apabila kerajaan memberi amaran mengenai gempa besar akibat pergerakan plat Pasifik yang menyusup ke bawah pulau utama Honshu, menurut agensi itu.
Gempa mega bermagnitud 9.0 pada 2011, yang meragut hampir 20,000 nyawa dan menyebabkan lebih 2,500 hilang serta mencetuskan bencana nuklear Fukushima, juga berlaku di luar pantai timur laut negara itu.
Agensi tersebut, yang menyemak magnitud daripada laporan awal 7.2 kepada 7.5, memberi amaran tsunami setinggi sehingga 3 meter selepas gempa berkenaan.
Tsunami tertinggi yang dicatatkan ialah kira-kira 70 sentimeter di Iwate.
Tiga jam setengah selepas gempa melanda, amaran tsunami diturunkan kepada nasihat keselamatan. Pada 6.20 pagi Selasa, nasihat itu ditarik balik sepenuhnya.
Gempa itu mencatatkan intensiti enam atas pada skala intensiti seismik Jepun tujuh mata di beberapa kawasan di Aomori. Gegaran turut dirasai di pusat bandar Tokyo.
Amaran khas agensi cuaca mengenai kemungkinan gempa kuat di sepanjang palung di luar pantai Pasifik timur laut Jepun dikeluarkan selepas satu gempa, apabila analisis mendapati ia mempunyai magnitud 7.0 atau lebih.
Agensi menilai terdapat kemungkinan satu dalam 100 bahawa gempa magnitud 8 atau lebih besar boleh berlaku dalam tempoh tujuh hari.
Bagaimanapun, apabila amaran sedemikian berkuat kuasa, pihak berkuasa tidak mengarahkan orang ramai membuat persiapan untuk berpindah.
Perdana Menteri Sanae Takaichi, ketika bercakap kepada media di pejabatnya, menggesa orang ramai mengikuti maklumat yang dikeluarkan pihak berkuasa sepanjang minggu ini dan bersedia melarikan diri sebaik sahaja merasakan gegaran.
Ketua Setiausaha Kabinet Minoru Kihara dan Menteri Pertahanan Shinjiro Koizumi masing-masing memaklumkan pemberita mengenai tindakan menyeluruh kerajaan terhadap gempa itu, sambil menegaskan usaha menyelamat menjadi keutamaan.
Di Aomori dan Hokkaido, lebih 10 kecederaan dilaporkan, termasuk sekurang-kurangnya satu kes serius di Hidaka, Hokkaido, dengan tiada kematian setakat ini.
Kerajaan wilayah Aomori berkata kira-kira 2,700 rumah terputus bekalan elektrik.
Tiada keabnormalan dilaporkan di loji tenaga nuklear di Hokkaido atau wilayah timur laut Aomori, Miyagi dan Fukushima.
Kerajaan juga mengesahkan tiada keabnormalan di loji pemprosesan semula bahan api nuklear di Rokkasho, sebuah perkampungan berhampiran pantai Pasifik di Aomori.
Perkhidmatan kereta api laju Tohoku Shinkansen dihentikan antara stesen Fukushima dan Shin-Aomori, menurut operator JR East.
Sebuah kereta api laju membawa 94 penumpang turut terkandas seketika di Aomori.
Penduduk yang dikejutkan oleh gempa lewat malam itu menggambarkan ketakutan yang dialami ketika mencari tempat selamat dalam suhu bawah sifar.
"Saya sedang tidur apabila gegaran bermula seperti ditolak kuat dari bawah. Selepas itu, gegaran berterusan secara menegak dan mendatar untuk tempoh yang lama," kata seorang lelaki berusia 40-an di Hachinohe, wilayah Aomori.
Seorang wanita berusia 75 tahun di Kamaishi, wilayah Iwate, berkata beliau sedang bersiap untuk tidur ketika gempa berlaku. Beliau berlindung di kawasan tinggi dalam sebuah kereta dipandu anak perempuannya.
"Saya teragak-agak sama ada perlu keluar. Saya takut jika beruang muncul, suami saya perlukan penjagaan, dan kami ada seekor kucing," katanya.
Kawasan pesisir di Aomori dan Iwate merekodkan suhu di bawah 5?C lewat malam Isnin. Seorang pekerja majlis berusia 27 tahun di Kuji, wilayah Iwate, menceritakan terdapat lapisan ais pada cermin depan kereta yang dipandunya untuk berpindah, menunjukkan suhu yang amat sejuk.
Biro Kyodo News di Hakodate, Hokkaido, turut berselerak selepas gempa, dengan rak keluli tumbang dan fail bertaburan di lantai.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


