Bekas Presiden Amerika Syarikat, George HW Bush memohon maaf menerusi jurucakap beliau atas dakwaan seorang pelakon wanita yang mengatakan bahawa dia pernah diraba olehnya.

Bush bagaimanapun menganggap hal itu bertujuan sebagai satu jenaka atau bermesra bagi menimbulkan mood gembira dalam sesi penggambaran, lapor Reuters.

Pelakon berkenaan, Heather Lind menuduh Bush meraba beliau sewaktu sesi bergambar bersama isterinya dan individu lain dalam sebuah acara promosi pada tahun 2014.

Tuduhan itu bermula apabila Lind memuat turun gambar di Instagram yang memaparkan Bush, 93, berjabat tangan dengan bekas presiden, Barack Obama semasa penampilan kesemua lima bekas presiden dalam acara mengutip derma mangsa Taufan, Sabtu lepas.

Dalam ruangan komen, Lind berkata bahawa foto itu mengingatkan kembali pertemuannya dengan presiden ke-41 itu tiga tahun lepas ketika 'beliau melakukan serangan seksual sewaktu sesi penggambaran'.

“Dia tidak berjabat tangan dengan saya. Dia menyentuh saya dari belakang dari kerusi rodanya dengan isterinya, Barbara Bush yang berada di sebelah beliau.

“Bush turut menceritakan jenaka yang berunsur lucah. Dan sewaktu bergambar, dia menyentuh saya lagi,” dakwa Lind, pelakon yang berusia 34 tahun itu.

Lind berkata, dia turut melihat isteri bekas presiden itu meleret anak mata ke atas, seolah-olah mahu mengatakan; "Tidak sekali lagi (berlaku hal seperti ini)”.

Jurucakap Bush, Jim Mcgrath kemudian bercakap bagi pihak Bush bahawa: "Kepada sesiapa yang telah merasa tersinggung atas perbuatan Bush, beliau memohon maaf dengan setulus hati."