WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump berkata pasukan tentera AS telah menyerang tujuh bot kecil milik Iran ketika operasi dijalankan bagi membuka semula laluan perkapalan di Selat Hormuz.
Menurut Trump dalam satu kenyataan ringkas, Iran turut “melepaskan beberapa tembakan ke arah negara yang tidak berkaitan”, termasuk sebuah kapal milik Korea Selatan.
Advertisement
Beliau sekali lagi menggesa negara lain supaya meningkatkan sokongan terhadap usaha AS bagi menjamin keselamatan perdagangan dan pelayaran di rantau berkenaan.
“Mungkin sudah tiba masanya Korea Selatan menyertai misi ini,” katanya.
Trump turut memaklumkan bahawa Setiausaha Pertahanan Pete Hegseth dan Pengerusi Ketua Turus Bersama Jeneral Dan Caine akan mengadakan sidang media pada pagi Rabu bagi memberikan maklumat lanjut mengenai perkembangan terkini.
Sebagai reaksi, Iran menafikan bertanggungjawab terhadap sebarang tindakan agresif di Selat Hormuz dan menuduh AS mencetuskan ketegangan baharu di perairan strategik itu.
Media kerajaan Iran memetik sumber ketenteraan sebagai berkata kehadiran tentera asing di rantau tersebut melanggar kedaulatan dan mengancam keselamatan serantau, sambil memberi amaran bahawa Tehran akan mempertahankan kepentingannya jika diserang.