ATHENS: Greece menawarkan ganjaran bernilai 150 euro (kira-kira RM740) dan data telefon percuma selama sebulan kepada golongan muda negara itu untuk mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 pertama mereka.

Ia sebagai usaha kerajaan untuk meningkatkan kadar vaksinasi sebelum musim cuti.

Negara itu telah melonggarkan sekatan pergerakan ketika kadar jangkitan menurun, namun kebimbangan meningkat mengenai penularan varian Delta yang lebih mudah tersebar.

Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis berkata, "Dengan suntikan pertama vaksin (mereka) akan mendapat kad prabayar 150 euro.

"Ini ialah hutang kepada belia, hadiah daripada rasa syukur," katanya.

Kira-kira 940,000 rakyat Greece berusia 18 hingga 25 tahun yang mendapat suntikan pertama sehingga akhir tahun ini akan layak mendapat 'pas kebebasan' bonus tunai.

Mereka akan dibenar membelanjakannya pada cuti musim panas dan acara kebudayaan mulai 15 Julai.

Kira-kira satu pertiga daripada 11 juta penduduk negara itu telah divaksinasi sepenuhnya.

"Greece berkemungkinan mencapai 80 peratus pemberian vaksin pada musim luruh jika masyarakat yakin akan kepentingan suntikan itu," kata seorang pegawai kerajaan yang bertanggungjawab terhadap program vaksinasi.

"Sekiranya mesej jelas... sasaran ini dapat dicapai pada akhir musim panas, awal September," kata Marios Themistocleous pada taklimat mingguan.

Greece merekodkan 421,266 kes COVID-19 dengan 12,682 kematian sejak wabak itu dikesan tahun lalu.

Negara itu menarik balik kewajipan memakai pelitup muka di tempat awam minggu lalu.

Mulai Isnin, rakyat Greece yang telah diberikan vaksin sepenuhnya juga boleh pergi bekerja atau ke gimnasium tanpa perlu membuat ujian saringan.