KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan, secara terbuka mencabar Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan, supaya meletakkan jawatan dengan serta-merta.
Cabaran itu dibuat susulan tindakan Ahmad menyampaikan pantun berunsur sindiran di persidangan Dewan Rakyat pada Isnin yang disifatkan tidak selari dengan semangat Kerajaan Perpaduan.
Menurut Mohd Sany, Ahmad Maslan tidak sepatutnya terus memegang jawatan dalam Kabinet sekiranya sudah tidak sehaluan dengan pentadbiran sedia ada.
"Saya nak cabar sahaja Ahmad Maslan ini. Kalau dah tidak kena selera dengan Kerajaan MADANI, Kerajaan Perpaduan yang ada pada hari ini, saya cabar beliau letak jawatan.
"Letak jawatan segera. Jangan rasa bongkak, takbur dan sombong, ego dengan kemenangan yang kamu perolehi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
"Saya cabar beliau supaya letak jawatan kerana sindir, perli dan juga maki Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim). Jadi saya cabar kalau beliau betul-betul 'anak jantan', kita minta beliau segera letak jawatan sebagai Timbalan Menteri Kerja Raya. Terima kasih," ujarnya dalam satu sidang media di Parlimen, pada Isnin.
Terdahulu, persidangan Dewan Rakyat menjadi kecoh apabila Ahmad menyelitkan pantun sindiran ketika menjawab celahan Datuk Ngeh Koo Ham (PH - Beruas) berhubung isu penghapusan tol.
"Saya dengar masa itu terutama Tony Pua membuat perkiraan, berdiri di tol MEX dan sebagainya. Penghapusan tol memang ada janji tetapi bukan kami (yang) janji.
"Ada banyak janji tak tertunai. Saya ada pantun tentang itu: 'Jika tuan pergi memancing, jangan lupa membawa umpan, kalau tuan tak nak kena kencing, sokong Barisan dan Perikatan," katanya.
Kenyataan itu mencetuskan bantahan RSN Rayer (PH - Jelutong) yang mempersoalkan sama ada Ahmad menjawab sebagai Timbalan Menteri atau pemimpin UMNO.
Susulan nasihat Timbalan Speaker, Datuk Seri Dr Ramli Mohd Nor, Ahmad bersetuju menarik balik penggunaan perkataan 'kencing' dalam pantun tersebut.
Bagaimanapun, beliau menafikan ada menyebut nama Pakatan Harapan ketika menyampaikan pantun terbabit.