SEORANG hakim Persekutuan Amerika Syarikat (AS) membatalkan dasar pentadbiran Presiden Donald Trump yang menggantung pengeluaran visa imigresen kepada pemohon dari 75 negara, dan memutuskan langkah itu tidak sah di sisi undang-undang.
Hakim Jeannette Vargas dari Mahkamah Daerah Selatan New York di Manhattan membuat keputusan itu pada Jumaat selepas mendapati dasar berkenaan melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada Setiausaha Negara Marco Rubio di bawah undang-undang imigresen Persekutuan.
Dalam penghakimannya, Vargas menyifatkan dasar tersebut sebagai "jelas menyalahi undang-undang" kerana bercanggah dengan kerangka perundangan yang memberi kuasa kepada pegawai konsular untuk membuat keputusan berhubung permohonan visa imigresen.
Beliau berkata, dasar yang melarang secara menyeluruh pengeluaran visa imigresen berdasarkan kewarganegaraan pemohon itu merupakan pelanggaran langsung terhadap skim perundangan sedia ada, lapor Reuters dan Al Jazeera.
Keputusan mahkamah itu dibuat susulan tindakan undang-undang yang difailkan oleh kumpulan hak pendatang Catholic Legal Immigration Network dan African Communities Together bersama beberapa pemohon visa imigresen serta warga AS yang menaja ahli keluarga mereka dari negara terlibat.
Dasar yang mula berkuat kuasa pada Januari lalu memberi kesan kepada pemohon dari beberapa negara Amerika Latin termasuk Brazil, Colombia dan Uruguay, selain negara Balkan seperti Bosnia dan Albania.
Ia turut melibatkan negara Asia Selatan termasuk Pakistan dan Bangladesh serta banyak negara di Afrika, Timur Tengah dan Caribbean.
Jabatan Negara AS sebelum ini mempertahankan langkah itu dengan menyatakan pemohon dari negara berkenaan berisiko tinggi menjadi tanggungan awam dan bergantung kepada bantuan kerajaan Persekutuan, negeri atau tempatan di AS.
Sepanjang penggal pentadbirannya, Trump melaksanakan pelbagai langkah ketat berkaitan imigresen yang menurutnya bertujuan meningkatkan keselamatan dalam negara.
Menurut kumpulan hak asasi, pembekuan visa tersebut merupakan antara beberapa sekatan imigresen yang diperkenalkan secara berturut-turut termasuk larangan perjalanan lebih luas melibatkan 39 negara dan penangguhan pengeluaran visa kepelbagaian, manakala Jabatan Negara setakat ini belum mengeluarkan sebarang komen mengenai keputusan mahkamah berkenaan.