GAZA: Hamas mencadangkan pelan gencatan senjata selama 135 hari dalam usaha menghentikan pertempuran berpanjangan yang tercetus sejak 7 Oktober tahun lalu.

Pelan tersebut antaranya termasuk semua tebusan akan dibebaskan, Israel mengundurkan tenteranya dari Semenanjung Gaza, serta persetujuan akan dicapai untuk menamatkan perang.

Ahli Biro Politik Hamas, Izzat Al-Risheq yang mengesahkan perkara itu berkata cadangan berkenaan diluluskan melalui Qatar dan Mesir kepada Israel dan Amerika Syarikat (AS). 

"Sudah tentu, kami telah menyatakan penghargaan kami atas usaha Mesir, Qatar dan semua negara kerana banyak pihak telah berusaha untuk menamatkan pencerobohan ini dan kami merakamkan penghargaan atas usaha ini.

"Kami dan tentera Palestin bergerak untuk mencapai kepentingan rakyat Palestin dan hak mereka yang sah dan adil untuk menamatkan penjajahan kejam ini, yang merupakan pendudukan terpanjang di dunia - selama 75 tahun. Rakyat Palestin kita mahu menamatkan penjajahan ini dan mendambakan kebebasan dan penubuhan negara Palestin yang merdeka dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kotanya, insya-Allah," katanya memetik Reuters pada Rabu.

Reuters menambah berdasarkan dokumen, pada fasa 45 hari pertama, semua tebusan wanita Israel, lelaki bawah 19 tahun, warga emas serta yang sakit akan dibebaskan sebagai pertukaran untuk pembebasan wanita dan kanak-kanak Palestin dari penjara Israel.

Selain itu, Israel juga akan mengundurkan tentera dari kawasan berpenduduk.

Bagi fasa kedua, ia melibatkan pembebasan baki tebusan lelaki dan pengunduran tentera Israel di luar sempadan semua kawasan di Semenanjung Gaza.

Manakala, mayat dan jenazah akan ditukar semasa fasa ketiga.

Dalam masa yang sama, gencatan senjata itu juga akan meningkatkan bantuan makanan dan lain-lain kepada orang awam Gaza, yang berdepan kelaparan dan kekurangan bekalan asas.