DUNIA
Hamas kecam pemintasan flotila Sumud oleh Israel

Hamas menegaskan bahawa penahanan aktivis dan gangguan terhadap misi kemanusiaan akan hanya “meningkatkan kemarahan global terhadap rejim Israel”. - Foto REUTERS
BANDARAYA GAZA: Gerakan Hamas mengutuk keras tindakan tentera laut Israel memintas flotila bantuan kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) di perairan antarabangsa, menyifatkannya sebagai “tindakan lanun maritim dan pengganas” yang melanggar undang-undang antarabangsa serta hak asasi manusia.
Ringkasan AI
- Hamas mengutuk tindakan Israel memintas flotila bantuan Global Sumud Flotilla di perairan antarabangsa, menyifatkannya sebagai "indakan lanun maritim dan pengganas" yang melanggar undang-undang antarabangsa.
- Kapal seperti Alma, Sirius dan Adara telah dinaiki secara paksa, dengan komunikasi diputuskan secara sengaja; Hamas mendakwa ini bertujuan menutup kekejaman terhadap aktivis tidak bersenjata.
- Hamas menyeru komuniti antarabangsa bertindak segera, termasuk PBB dan badan hak asasi, bagi menjamin keselamatan aktivis dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa halangan.
Kapal-kapal seperti Alma, Sirius, dan Adara dilaporkan telah dinaiki secara paksa oleh tentera Israel, dengan komunikasi dan siaran langsung dari kapal diputuskan secara sengaja.
Hamas menyifatkan tindakan tersebut sebagai cubaan untuk menutup bukti kekejaman terhadap aktivis yang tidak bersenjata.
“Pemintasan ini bukan sahaja melanggar undang-undang laut antarabangsa, malah menunjukkan keangkuhan rejim penjajah yang terus menyekat bantuan kepada rakyat Gaza yang sedang menderita,” kata jurucakap Hamas dalam kenyataan itu.
GSF, yang berlepas dari Barcelona awal bulan ini, membawa bekalan makanan, ubat-ubatan dan mesej solidariti ke Gaza.
Misi ini turut disertai oleh aktivis terkenal seperti Greta Thunberg dan Mandla Mandela, serta wakil dari Malaysia, Itali, Sepanyol dan Sweden.
Hamas menyeru komuniti antarabangsa, termasuk Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan badan hak asasi global, agar mengambil tindakan segera untuk melindungi aktivis dan memastikan bantuan kemanusiaan sampai ke Gaza tanpa halangan.
Insiden ini berlaku ketika Gaza terus berdepan serangan udara dan sekatan berpanjangan, dengan lebih 65,000 kematian direkodkan sejak Oktober 2023 menurut Kementerian Kesihatan Palestin.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami