ISTANBUL: Hamas pada Isnin menyambut baik kenyataan Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang menggesa Israel menghentikan serangan ke atas Semenanjung Gaza, lapor Anadolu Ajansi.
“Kenyataan itu mengesahkan komitmen Presiden Trump terhadap usaha gencatan senjata,” kata jurucakap Hamas, Hazem Qassem dalam satu kenyataan.
Beliau turut menggesa pemimpin AS itu supaya “memberi tekanan kepada kerajaan pendudukan (Israel) agar mematuhi apa yang telah dipersetujui bagi memulakan fasa kedua pelan damai Gaza Trump.”
Kenyataan itu dibuat ketika pelanggaran gencatan oleh Israel berterusan -- termasuk serangan udara, bedilan artileri dan tembakan - yang terus mengorbankan rakyat Palestin di seluruh wilayah itu hampir setiap hari.
Terdahulu pada Isnin, Trump berkata, Israel “tidak sepatutnya menyerang Gaza,” sambil menyatakan bahawa Hamas bersetuju untuk meletakkan senjata sekiranya Israel melaksanakan kewajipannya di bawah pelan damai itu.
Trump berkata, AS turut mengekalkan saluran komunikasi berasingan dengan Hamas dan menegaskan bahawa “akhirnya, mereka (Hamas) akan menyerahkan senjata mereka.”
Kenyataan beliau dibuat ketika Washington memperhebat usaha untuk melaksanakan pelan damai Gaza Trump, yang merangkumi pelucutan senjata Hamas dan pengunduran tentera Israel dari wilayah Palestin yang dilanda konflik itu.
Menurut anggaran, serangan genosid Israel di Gaza telah mengorbankan lebih 73,000 rakyat Palestin dan mencederakan lebih 174,000 yang lain - kebanyakannya wanita dan kanak-kanak - selain memusnahkan 90 peratus infrastruktur Gaza.
-- BERNAMA-ANADOLU