Skip to main content

Dunia

Hamas sedia teruskan pelan damai Gaza, gesa AS tekan Israel

Debris lies at the site of a Friday Israeli air strike on houses at Shati (Beach) refugee camp in Gaza City, May 9, 2026. REUTERS/Dawoud Abu Alkas
Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas, sebanyak 1,258 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober tahun lalu apabila kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang disokong Trump. - Gambar fail/ Reuters
Advertisement

GAZA: Kumpulan pejuang Palestin, Hamas pada Sabtu menegaskan ia kekal bersedia meneruskan pelan damai Gaza yang disokong Amerika Syarikat (AS), sambil menggesa Washington meningkatkan tekanan ke atas Israel yang mendakwa belum bersetuju dengan bahagian terbaharu perjanjian tersebut.

Menurut Hamas, pihaknya telah memaklumkan kepada Lembaga Keamanan Presiden AS, Donald Trump bahawa mereka akan mematuhi peringkat terkini pelan itu, yang menyaksikan kumpulan berkenaan menyerahkan senjata kepada sebuah jawatankuasa pentadbiran Palestin yang sedang dibentuk di wilayah yang musnah akibat perang itu.

Seorang pegawai Hamas berkata, kumpulan itu bersama beberapa lagi fraksi Palestin telah memaklumkan kepada pihak pengantara mengenai kesediaan mereka untuk memulakan pelaksanaan perjanjian dan bergerak ke fasa kedua, dengan syarat Israel memberikan persetujuan serta mula melaksanakan komitmennya.

“Hamas menggesa pentadbiran AS memberi tekanan kepada Israel supaya mematuhi perjanjian dan meneruskan pelaksanaan fasa kedua,” katanya kepada agensi berita antarabangsa, AFP dengan syarat identitinya dirahsiakan.

Minggu lalu, Trump menyifatkan persetujuan Hamas untuk melucutkan senjata sebagai satu perkembangan penting, manakala Lembaga Keamanan memaklumkan Israel akan melaksanakan pengunduran secara berperingkat dari sebahagian besar Gaza.

Namun, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu yang berdepan saingan sengit menjelang pilihan raya pada Oktober serta tentangan daripada penyokong sayap kanannya terhadap perjanjian Gaza, menegaskan pada Selasa bahawa Israel tidak pernah bersetuju dengan draf yang dikemukakan oleh Lembaga Keamanan itu.

Netanyahu pada Isnin turut mengadakan pertemuan dengan wakil khas Lembaga Keamanan bagi Gaza, Nickolay Mladenov yang kemudian menjelaskan bahawa pengunduran Israel hanya akan berlaku selepas Hamas dilucutkan sepenuhnya daripada senjata.

Tentera Israel pada masa sama menegaskan operasi ketenteraan terhadap Hamas akan diteruskan. 

Hamas sebelum ini melancarkan serangan paling berdarah dalam sejarah Israel pada 7 Oktober 2023.

Pada Sabtu, tembakan tentera Israel dilaporkan mengorbankan seorang rakyat Palestin di timur Deir al-Balah, di tengah Semenanjung Gaza, menurut jurucakap agensi pertahanan awam Gaza, Mahmoud Bassal.

Beliau berkata, kira-kira 10 individu termasuk kanak-kanak turut cedera di beberapa kawasan di Gaza, dengan sebahagian mangsa berada dalam keadaan kritikal.

Bagaimanapun, operasi ketenteraan Israel sejak beberapa hari kebelakangan ini dilihat berkurangan intensitinya, dengan laporan hanya melibatkan tembakan dan penggunaan dron tanpa serangan udara.

Menurut Kementerian Kesihatan Gaza yang ditadbir Hamas, sebanyak 1,258 rakyat Palestin terbunuh sejak Oktober tahun lalu apabila kedua-dua pihak bersetuju melaksanakan gencatan senjata yang disokong Trump.

Angka kementerian itu dianggap boleh dipercayai oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Dalam tempoh sama, tentera Israel melaporkan lima anggotanya maut sepanjang operasi berkenaan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement