INTERNATIONAL
Hampir 200,000 terjejas akibat banjir di selatan Filipina

Hujan tanpa henti telah menyebabkan banjir di 98 kawasan melibatkan 11 bandar dalam wilayah di pulau Mindanao. - Gambar hiasan/Bernama
MANILA: Hampir 200,000 penduduk terjejas akibat banjir di wilayah Maguindanao del Sur, selatan Filipina susulan hujan lebat berterusan yang dibawa oleh zon pertembungan antara tropika, menurut Majlis Pengurusan dan Pengurangan Risiko Bencana Kebangsaan (NDRRMC) pada Selasa, lapor Xinhua.
Agensi itu memaklumkan, hujan tanpa henti telah menyebabkan banjir di 98 kawasan melibatkan 11 bandar dalam wilayah di pulau Mindanao itu, yang mengalami cuaca mendung serta hujan dan ribut petir sejak 14 Mei lepas.
"Keadaan ini telah menyebabkan banjir kilat di beberapa kawasan perbandaran di Maguindanao del Sur," menurut kenyataan agensi itu, sambil menambah bahawa seramai 192,005 individu terjejas, manakala 890 orang kini berlindung di pusat pemindahan.
Agensi itu turut melaporkan, tiga rumah musnah sepenuhnya, manakala dua jalan raya dan sebuah jambatan diisytihar tidak boleh dilalui kenderaan akibat banjir.-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami