Skip to main content

Dunia

Hampir 60 peratus projek tenaga suria Palestin disiapkan dalam dua tahun

Palestinians gather at the site of an Israeli military strike that, according to health authorities, killed at least one person in Gaza City, Thursday, Aug. 27, 2026. (AP Photo/Jehad Alshrafi)
- Gambar fail AP
Advertisement

RAMALLAH: Pihak Berkuasa Tenaga dan Sumber Asli Palestin (PENRA) melaksanakan beberapa langkah di bawah Pelan Keselamatan Tenaga 2025-2027 bagi meningkatkan pengeluaran tenaga tempatan, memperkukuh infrastruktur elektrik dan membuat persediaan untuk pembinaan semula sektor elektrik di Gaza.

Pelan itu bertujuan meningkatkan bahagian sumber tenaga boleh diperbaharui kepada kira-kira 30 peratus daripada campuran tenaga Palestin menjelang 2030, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap sumber tenaga luar serta meningkatkan kemampanan dan keselamatan bekalan tenaga, lapor Agensi Berita dan Maklumat Palestin (WAFA).

Kira-kira 60 peratus projek tenaga suria dilaksanakan dalam tempoh dua tahun lepas di bawah Kerajaan ke-19.

Menurut laporan yang dikeluarkan Pusat Komunikasi Kerajaan berdasarkan data PENRA, sebanyak 85 loji kuasa suria dengan kapasiti gabungan 126 megawatt (MW) telah dilesenkan, mencukupi untuk memenuhi keperluan kira-kira 40,000 isi rumah, dengan kebanyakan loji itu dilengkapi sistem penyimpanan tenaga.

PENRA turut melancarkan fasa pertama program "Shamsi Palestine", yang membolehkan 10 majlis perbandaran iaitu Al-Dhahiriya, Bani Na'im, Abda dan Imreish, Bani Zaid al-Gharbiya, Qaryut, Jama'in, Kafr Zibad, Madama, Asira al-Shamaliya dan Ya'bad membangunkan dan memiliki loji kuasa suria dengan kapasiti gabungan yang mencukupi untuk memenuhi keperluan kira-kira 3,500 isi rumah. Program itu menyasarkan penglibatan 80 majlis perbandaran menjelang 2030.

PENRA juga sedang membuat persediaan untuk membangunkan loji kuasa suria berkapasiti 20 MW di Rammun dan Deir Dibwan, dengan kapasiti penyimpanan 55 megawatt-jam (MWh), bagi memenuhi keperluan kira-kira 6,300 isi rumah dan kemudahan.

Selain itu, PENRA melancarkan dana pusingan bagi menyokong projek tenaga suria untuk isi rumah serta perusahaan kecil dan sederhana, yang setakat ini memberi manfaat kepada 250 entiti.

PENRA turut melancarkan Program Tenaga Suria Berskala Besar (LSAPS), iaitu program sistem sokongan dan pembayaran bagi pelaburan kompetitif dalam tenaga suria dengan kapasiti kira-kira 20 MW serta sistem penyimpanan tenaga, yang mencukupi untuk memenuhi keperluan lebih 6,300 isi rumah.

Dalam sektor pendidikan dan kesihatan, PENRA mula melengkapi 80 lagi sekolah dengan sistem tenaga suria, sebagai tambahan kepada lebih 800 sekolah yang sudah menggunakan tenaga bersih.

Enam hospital turut dilengkapi sistem tenaga suria, manakala usaha sedang dijalankan untuk menyediakan sistem tenaga suria dan penyimpanan tenaga kepada 13 hospital kerajaan serta 23 klinik.

PENRA turut menyokong Syarikat Elektrik Daerah Tubas dan Majlis Perbandaran Tulkarm dengan membiayai pemasangan sistem penyimpanan tenaga bateri berskala besar dengan kapasiti gabungan 35 MWh, mencukupi untuk memenuhi keperluan lebih 6,000 isi rumah dan kemudahan.

Krisis bekalan elektrik di Wilayah Tulkarm yang berlarutan sejak 2013 turut diselesaikan dengan penambahan talian bekalan elektrik ketiga berkapasiti kira-kira 10 MW.

Langkah itu meningkatkan kapasiti tersedia di wilayah berkenaan kepada kira-kira 50 MW, sekali gus memperkukuh kestabilan grid dan mengurangkan gangguan bekalan elektrik.

PENRA juga mula membina talian penghantaran elektrik antara Tubas dan Nablus bagi meningkatkan kecekapan grid serta mengagihkan lebihan tenaga yang dijana daripada projek tenaga suria.

Reka bentuk lima pencawang utama di Atara, Jericho, Al-Za'im, Tulkarm dan Hebron turut disediakan, selain kerja peluasan serta pemulihan rangkaian voltan sederhana di beberapa wilayah.

PENRA membekalkan 146,000 meter pintar kepada syarikat pengagihan elektrik bagi membantu mengurangkan kehilangan tenaga dan mengawal penggunaan.

PENRA juga meneruskan pembangunan projek Loji Janakuasa Jenin berkapasiti 265 MW yang apabila siap kelak akan membekalkan kira-kira 25 peratus daripada keperluan elektrik Tebing Barat.

PENRA juga sedang berusaha meningkatkan kapasiti saling hubungan elektrik dengan Jordan kepada 160 MW dan menyelesaikan kajian bagi saling hubungan 400 kV.

Pada masa sama, Pelan Nasional bagi Meningkatkan Daya Tahan Sistem Tenaga telah diterima pakai, yang memperuntukkan pembinaan koridor penghantaran baharu 33 kV serta peningkatan kapasiti penyimpanan tenaga.

Mengenai Gaza, PENRA menyediakan pelan teknikal bagi memberi keutamaan kepada pembinaan semula sektor elektrik di wilayah itu.

PENRA turut memperoleh peralatan elektrik bernilai US$29 juta sebagai persediaan untuk memulihkan bekalan elektrik ke kemudahan penting di Semenanjung Gaza sebaik sahaja peralatan itu dapat dibawa masuk.

PENRA juga berusaha mendapatkan pembiayaan dan geran antarabangsa bagi menyokong projek tenaga boleh diperbaharui serta memodenkan rangkaian elektrik.

Kerajaan turut menerima pakai tiga pelan utama dalam kerangka strategik 2025-2030, iaitu Strategi Tenaga Nasional (2025-2027), Pelan Tenaga Boleh Diperbaharui (2025-2030) dan Pelan Rasionalisasi Penggunaan Tenaga (2025-2030).

-- BERNAMA-WAFA

 

 

Must Watch Video

Advertisement