HANOI (VIETNAM): Hanoi akan memberikan bayaran sekali sahaja sebanyak 4 juta dong Vietnam (VND) (US$154) kepada wanita yang melahirkan dua orang anak sebelum berusia 35 tahun, bermula 2027, di bawah dasar yang diluluskan oleh Majlis Rakyat bandar raya itu, lapor Agensi Berita Vietnam (VNA).
Bagi melayakkan diri menerima insentif itu, wanita berkenaan harus berdaftar sebagai penduduk tetap atau sementara di ibu negara itu sekurang-kurangnya selama enam bulan.
Di bawah Dekri No. 168/2026/ND-CP, kelayakan ditentukan berdasarkan jumlah keseluruhan anak yang dilahirkan oleh seseorang wanita, tanpa mengira bilangan kali kelahiran.
Umur seseorang wanita akan dikira pada tarikh dia melahirkan anak, bukannya pada tarikh kelahiran itu didaftarkan, selaras dengan peraturan sivil dan perundangan berkaitan.
Kadar kesuburan Hanoi kekal di bawah paras penggantian dalam beberapa tahun kebelakangan ini, menurut Jawatankuasa Rakyat Perbandaran.
Jumlah kadar kesuburan bandar itu ialah 1.88 anak bagi setiap wanita pada 2023, 1.86 pada 2024 dan 1.87 pada 2025.
Bandar raya berkenaan berdepan tekanan yang semakin meningkat akibat kenaikan kos perumahan, penjagaan anak dan pendidikan, selain cabaran mengimbangi kehidupan pekerjaan dan keluarga, menurut jawatankuasa itu.
Menurutnya, kadar kesuburan rendah yang berlarutan boleh menjejaskan saiz dan struktur penduduk Hanoi, mempercepatkan proses penuaan penduduk serta memberi tekanan kepada tenaga kerja dalam jangka panjang.
Dasar itu bertujuan menggalakkan pasangan mempunyai dua orang anak dan secara berperingkat meningkatkan semula kadar kesuburan bandar berkenaan ke paras penggantian, menurut jawatankuasa itu.
Pihak berkuasa turut mengetengahkan faktor kesihatan dengan menjelaskan bahawa tahap kesuburan wanita menurun seiring peningkatan usia manakala kehamilan selepas usia 35 tahun membawa risiko komplikasi lebih tinggi, termasuk tekanan darah tinggi dan diabetes semasa hamil, selain peningkatan risiko keadaan kongenital tertentu.
Bandar raya itu menganggarkan kira-kira 15,000 wanita layak menerima bayaran berkenaan setiap tahun, yang memerlukan peruntukan tahunan sekitar VND60 bilion (US$2.33 juta).
Jumlah perbelanjaan bagi dasar berkaitan kependudukan pada 2027 diunjurkan sebanyak VND245.9 bilion (US$9.53 juta), termasuk peningkatan elaun kepada 8,500 petugas sukarelawan kependudukan serta bantuan bagi khidmat kaunseling dan pemeriksaan kesihatan praperkahwinan.
Bayaran VND4 juta berkenaan bertujuan menyediakan bantuan kewangan sebahagian kepada keluarga yang membesarkan anak, dan bukannya menampung sepenuhnya kos penjagaan serta pendidikan anak,menurut jawatankuasa itu..
-- BERNAMA-VNA