KUALA LUMPUR: Pengukuhan identiti digital dan kerjasama merentas sektor adalah asas utama kepada kedaulatan serta pertahanan siber negara dalam mendepani ancaman digital berskala tinggi, kata Ketua Eksekutif Agensi Keselamatan Siber Negara (NACSA) Dr Megat Zuhairy Megat Tajuddin.
Beliau berkata ekosistem pengesahan fizikal dan digital perlu saling melengkapi bagi menjamin kestabilan serta keselamatan prasarana digital negara.
“Identiti digital (perlu) berpaksikan pembentukan elemen kebolehpercayaan," katanya ketika merasmikan persidangan Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (rawSEC) MiniCon 2026 di TNB Platinum, Bangsar di sini hari ini.
Megat Zuhairy berkata Strategi Keselamatan Siber Malaysia 2025-2030 memerlukan kerjasama menyeluruh sektor awam, swasta dan komuniti dengan penglibatan masyarakat umum menjadi penentu utama kejayaan pelaksanaannya.
Persidangan anjuran rawSEC dengan kerjasama Pertubuhan Komuniti Keselamatan Siber Malaysia (MCCO) itu mengetengahkan taktik pengintipan siber dan langkah pencegahan proaktif menerusi risikan balas selain menggalakkan kerjasama antara agensi keselamatan negara, pakar industri, pengamal teknikal serta bakat baharu.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif MyDigital ID Sdn Bhd Azrin Aris dalam sesi pembentangan khas menekankan keperluan memperkukuh mekanisme pengesahan pengguna bagi menutup ruang eksploitasi siber.
“Peralihan daripada kaedah pengesahan tunggal tradisional kepada pelaksanaan Pengesahan Pelbagai Faktor terbukti mampu meningkatkan tahap keselamatan dan integriti identiti digital secara signifikan,” katanya.
Ketua Pegawai Operasi Keselamatan Siber Tenaga Nasional Berhad (TNB) Nasrin Abg Omar pula mengingatkan bahawa tanpa keupayaan pertahanan siber yang kukuh, negara berdepan risiko gangguan bekalan tenaga yang boleh menjejaskan operasi infrastruktur asas secara menyeluruh.
Dalam pada itu, Pengerusi rawSEC dan MCCO Tahrizi Tahreb berkata komuniti berkenaan kini menghimpunkan lebih 3,000 pengamal keselamatan siber di seluruh negara berbanding hanya 15 ahli ketika ditubuhkan pada 2017.
Beliau berkata Program Kesedaran Keselamatan Siber Serantau (RECAP) turut diperluas menerusi program RAKSASA di Zon Selatan, RENTAS di Wilayah Tengah, REMBULAN di Pantai Timur dan BERAMBEH di Sarawak.
Tahrizi berkata pendaftaran rasmi MCCO sebagai pertubuhan bukan kerajaan pada 7 April tahun lepas dan pemeteraian memorandum persefahaman dengan ASEAN-Japan Cybersecurity Community Alliance (AJCCA) mencerminkan komitmen berterusan untuk melahirkan bakat tempatan yang berintegriti, beretika serta berdaya saing di peringkat antarabangsa.
-- BERNAMA