Skip to main content

Dunia

AS haramkan import pelbagai produk dari Kanada, perang dagang semakin memuncak

Transport trucks cross the Ambassador Bridge into the United States of America in Windsor, Ontario, Canada, on Aug 22, 2026. (Photo: Dax Melmer/The Canadian Press via AP)
Gambar menunjukkan lori pengangkut melintasi Jambatan Ambassador menuju ke Amerika Syarikat dari Windsor, Ontario, Kanada, pada 22 Ogos lalu. - Gambar fail/ AP
Advertisement

WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) mengumumkan larangan import ke atas pelbagai produk dari Kanada termasuk minuman beralkohol, motosikal dan produk tenusu, sekali gus meningkatkan lagi ketegangan dalam perang dagang yang semakin meruncing antara dua sekutu lama itu.

Larangan yang akan berkuat kuasa pada 29 September itu diumumkan menerusi laman web White House selepas tarif balas dikenakan Kanada ke atas barangan AS mula berkuat kuasa pada tengah malam Selasa.

Tindakan Ottawa itu dibuat susulan pengenaan tarif sebanyak 50 peratus oleh Washington terhadap kira-kira AS$20 bilion nilai eksport Kanada bulan lalu selepas beberapa siri rundingan perdagangan gagal mencapai kata sepakat.

Kemelut tersebut terus melebarkan jurang hubungan antara kedua-dua negara yang saling menuding jari berhubung kegagalan rundingan berkenaan, selain mendorong Perdana Menteri Kanada, Mark Carney, menggesa negara itu mengurangkan kebergantungan terhadap rakan dagang utamanya.

“Kita mempunyai segala yang diperlukan untuk berubah haluan dan terus maju.

“Perubahan itu ada kosnya, namun kos untuk tidak bertindak jauh lebih besar,” kata Carney dalam rakaman video yang dimuat naik di YouTube pada Selasa.

Larangan import AS merangkumi sebahagian besar produk alkohol serta produk tenusu.

Selain larangan import, beberapa jenis keju turut dimasukkan ke dalam senarai produk yang dikenakan tarif 50 peratus, namun tidak diharamkan sepenuhnya.

Produk lain yang turut terkesan termasuk kertas, aluminium, kayu, perabot dan lampu.

Seorang pegawai AS turut memaklumkan ancaman Presiden Donald Trump untuk menaikkan tarif ke atas kenderaan dan komponen automotif dari Kanada daripada 25 peratus kepada 50 peratus bermula 1 Januari tahun hadapan masih kekal.

Menurut pegawai itu, Wakil Perdagangan AS, Jamieson Greer telah mengadakan perbincangan dengan Menteri Perdagangan AS-Kanada, Dominic LeBlanc dalam beberapa hari kebelakangan ini dan kedua-duanya dijangka kembali berunding bagi mencari jalan penyelesaian.

Ottawa bertindak balas

Pegawai kerajaan Kanada berkata, langkah tarif balas yang dikenakan Ottawa bertujuan memberi tekanan ekonomi dan politik kepada Washington.

Tarif berkenaan melibatkan kira-kira AS$20 bilion nilai barangan AS dengan kadar cukai antara 15 hingga 50 peratus meliputi sektor keluli, perabot, pakaian dan elektronik.

Langkah itu dijangka memberi kesan kepada beberapa negeri industri utama AS seperti Michigan dan Ohio menjelang pilihan raya pertengahan penggal negara itu pada November.

Jurucakap LeBlanc, Gabriel Brunet berkata, pegawai Kanada dan AS masih meneruskan perbincangan mengenai pelbagai isu walaupun rundingan perdagangan rasmi tidak sedang berlangsung ketika ini.

Walaupun tarif baharu itu hanya melibatkan sebahagian kecil daripada keseluruhan perdagangan antara kedua-dua negara, penganalisis bimbang pertikaian berkenaan boleh menggugat masa depan Perjanjian Amerika Syarikat-Mexico-Kanada (USMCA), iaitu pakatan perdagangan bebas yang menggantikan NAFTA dan menjadi tulang belakang perdagangan Amerika Utara selama beberapa dekad.

“Kebimbangan utama kami ialah berlakunya kitaran tindakan balas yang terus meningkat.

“Namun pada masa sama, kami memahami keperluan perdana menteri untuk mencari ruang yang boleh memberikan tekanan terhadap pihak lawan dalam rundingan,” kata Pengarah Eksekutif Canadian Agri-Food Trade Alliance, Michael Harvey.

Trump terus kritik Kanada

Sejak beberapa hari kebelakangan ini, Trump dilihat terus mengkritik Kanada menerusi platform Truth Social.

Pada Isnin, beliau berkata, pengeluar jet peribadi Kanada, Bombardier tidak lagi dibenarkan menjual pesawatnya di AS melainkan syarikat itu mula mengeluarkan pesawat di negara tersebut.

Beliau turut berkongsi imej Amerika Utara yang diselubungi bendera AS termasuk Kanada dan Mexico, selain memuat naik imej dijana kecerdasan buatan (AI) yang merujuk Carney sebagai "Gabenor", sindiran berulang Trump bahawa Kanada wajar menjadi negeri ke-51 AS.

Beberapa jam sebelum pengumuman larangan import terbaharu itu, Trump turut mengarahkan Pentadbiran Perkhidmatan Am (GSA) untuk mengeluarkan produk buatan Kanada daripada senarai perolehan kerajaan persekutuan selagi Ottawa tidak mengembalikan apa yang disifatkannya sebagai layanan perdagangan yang adil kepada syarikat dan petani Amerika.

Pelbagai sektor terjejas

Tarif yang diperkenalkan Washington bulan lalu memberi kesan kepada pelbagai sektor termasuk wain, perabot, produk tenusu, simen, pakaian, peralatan memancing dan kelengkapan hoki, melibatkan kira-kira AS$20 bilion atau lima peratus daripada eksport Kanada ke AS.

Berdasarkan data kerajaan Kanada dan AS, hampir 68 peratus daripada keseluruhan eksport Kanada tahun ini dihantar ke AS, dengan kira-kira 80 peratus daripadanya menikmati pengecualian cukai di bawah USMCA.

Namun, tarif yang dikenakan menerusi undang-undang era Kemelesetan Besar AS tidak membenarkan Kanada memanfaatkan pengecualian yang diperuntukkan di bawah perjanjian tersebut.

Penganalisis politik turut memberi amaran bahawa sokongan rakyat Kanada terhadap Carney ketika ini boleh merosot sekiranya kesan perang dagang tersebut mula dirasai dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Bagaimanapun, tinjauan Angus Reid yang diterbitkan pada Selasa menunjukkan kadar kelulusan terhadap prestasi Carney meningkat 11 mata peratusan kepada 62 peratus berbanding Ogos lalu.

Dalam perkembangan sama, kaji selidik Reuters/Ipsos mendapati hanya 20 peratus rakyat Amerika menyokong tarif yang dikenakan Trump terhadap barangan Kanada.

Trump sebelum ini turut mengancam untuk menaikkan tarif ke atas semua kereta, trak dan komponen automotif dari Kanada kepada 50 peratus bermula 1 Januari, selain menandatangani perintah eksekutif yang menukar nama Tasik Ontario kepada "Lake America." - Agensi

Must Watch Video

Advertisement