Anak muda Indonesia membentuk peratusan besar dalam populasi rakyat republik itu yang melebihi angka 250 juta orang.

Sebagai pelapis negara dalam pelbagai bidang pada masa depan, mereka juga mempunyai suara besar dan harapan yang tinggi sempena pelantikan Presiden Indonesia yang terbaharu, Joko Widodo.

Berikut adalah antara impian anak muda Indonesia dan apa yang mereka mahukan ialah sebuah Indonesia yang baharu:

Herlina Kristanti, 32, Pekerja swasta, Yogyakarta

"Akhirnya, Indonesia mendapat seorang Presiden yang bukan daripada latar ketenteraan. Semoga perkara itu secara tidak langsung akan mencerminkan polisi beliau demi perkembangan Indonesia.

Saya berharap agar Presiden yang baharu akan membawa perubahan positif dengan memerangi rasuah. Gaya hidup pejabat Presiden juga diharapkan tidak terlalu royal (bermewah-mewah) sebaliknya merakyat.

Ekonomi para usahawan dan pendidikan juga harus diberi tumpuan. Semoga dalam pentadbiran Jokowi, pihak pemerintah akan mendukung perkembangan para usahawan dengan menyediakan sistem mudah pinjaman modal."

Sekar Sari, 25, Penuntut Sarjana di NTNU, Trondheim, Norway

"Ketika menyandang jawatan sebagai wali kota sebelum dilantik sebagai gabenor (bandar Jakarta) dan dalam kempen beliau, Jokowi banyak menerapkan pendekatan budaya tempatan. Kepekaan terhadap seni budaya ini menjadi harapan bagi Indonesia untuk dapat mengolah potensi seni budaya yang lebih serius.

Selain itu, adalah diharapkan agar negara ini memiliki strategi kebudayaan dengan konsep yang jelas dan terarah. Ayo Pak Jokowi, tugas kita masih banyak!"

Yusuf Ahmad Rifsal, 26, bakal graduan, Sumatera Barat

"Dengan pelantikan Jokowi sebagai Presiden Republik Indonesia, saya berharap kabinet baharu ini mampu membawa impak positif bagi seluruh rakyat Indonesia.

Semoga rakyat kecil mendapat hak yang sama dalam kelayakan dan peluang mengecapi pendidikan. Saya juga berharap agar peluang kerja terbuka lebih lebar dan pengangguran dapat dikurangkan.

Selebihnya, saya mengharapkan Jokowi dapat membawa nama baik Indonesia di pentas antarabangsa."

Tovic Raharja, 31, Pengurus acara, Yogyakarta

"Harapan saya untuk presiden yang baharu adalah semoga beliau membawa perubahan Indonesia ke arah yang lebih baik dan dapat menjadi pemimpin yang dekat dengan rakyat dan membela kepentingan rakyat.

Saya juga berharap beliau dapat membongkar sistem lama yang tidak lagi relevan demi kemajuan bangsa Indonesia.

Selain itu, saya turut berharap agar industri seni negara bertambah maju memandangkan sebelum Jokowi menjadi Presiden, beliau banyak menyokong program berbentuk kreativiti dan kesenian. Biarlah seni mempunyai tempat khusus dan martabatnya dilonjak ke aras yang lebih tinggi."

Alfatika Aunuriella Dini, 24, Penuntut Falsafah Kedoktoran, Kristiansand, Norway

"Presiden yang baru dilantik ini pastinya harapan baharu buat Indonesia. Adalah diharapkan beliau bersama pasukannya akan terus menegakkan demokrasi dan mandat rakyat. Saya percaya bahawa Jokowi akan menyatukan seluruh rakyat Indonesia demi memacu masa depan yang lebih cemerlang.

Selain itu, pastikan juga keamanan dan keselamatan rakyat terjaga. Semoga tiada lagi gejala rasuah, sistem pendidikan dimajukan dan kemakmuran tercapai. Selamat bertugas Bapak Presiden, bahtera ini sudah siap sedia untuk belayar di laut harapan!"

Angger Nova Alinza, 21, Pekerja bank, Malang

"Harapan saya supaya pemerintah dapat bekerja lebih baik lagi bagi memantapkan ekonomi. Lanjutan daripada ekonomi yang baik mampu membuka prospek pendapatan dan pendidikan yang lebih baik.

Seterusnya, pendidikan yang diselenggara dengan baik perlu disertai lapangan pekerjaan yang semakin terbuka. Perlu ditanamkan juga sikap keusahawanan dalam kalangan rakyat.

Hal-hal lain yang perlu diberi perhatian adalah soal kepemilikan kenderaan peribadi, pembangunan jaringan pengangkutan (dalam usaha mengurangkan masalah kesesakan lalu lintas), isu kemiskinan serta kawalan masalah banjir yang selam ini tidak hilang dari wajah Indonesia."

Patria Nurhari, 29, Pegawai Sekretariat, Jakarta

"Seperti kebanyakan anak muda lainnya, kami berharap Pak Jokowi dapat merealisasikan janji dalam kempennya iaitu tumpuan terhadap perkembangan idea-idea kreatif dan menghargai aspirasi anak muda.

Tentu sekali kami meletakkan harapan tinggi mengenai penglibatan peranan golongan pemuda dalam pelbagai bidang - baik politik, ekonomi, teknologi maklumat dan sosiobudaya. Anak muda Indonesia perlukan wadah untuk menampung dan melaksanakan kreativiti."

Hangga Fathana, Pensyarah Universiti Islam Indonesia, Yogyakarta

"Jokowi kini berdepan dengan peluang sekali gus cabaran dalam hubungan luar Indonesia pada masa depan. Seperti yang dikatakan Susilo Bambang Yudhoyono mengenai situasi politik antarabangsa yang seolah-olah ‘belayar di lautan gelora’, Jokowi perlu memastikan tanggungjawab terhadap polisi luar Indonesia tidak boleh diletak di bahu penasihat yang tidak berpengalaman.

Beliau perlu jelas bahawa keutamaan polisi luar dalam usaha meningkatkan peranan global diplomasi kuasa tengah tidak akan menjejaskan hubungan dengan negara-negara jiran terutamanya di rantau Asia Tenggara."

GALERI FOTO: WAJAH-WAJAH JOKO WIDODO