KUALA LUMPUR: Pilihan Raya Negeri (PRN) di Negeri Sembilan berkemungkinan tidak diadakan susulan ketidaktentuan politik yang sedang berlaku di negeri itu.
Bagaimanapun, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia bergantung kepada keputusan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta perjalanan persidangan Dewan Undangan Negeri.
Advertisement
“Mungkin tidak (PRN diadakan). Ia bergantung… kerana ia terpulang kepada Tuanku dan sudah tentu kepada persidangan dewan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menghadiri mesyuarat tertutup bersama pengurusan tertinggi Huawei yang diadakan sempena pelancaran Makmal AI dan Pusat Inovasi Huawei, di sini, pada Isnin.
Jawapan itu sebagai maklum balas ketika ditanya sama ada PRN akan diadakan bagi menyelesaikan situasi berkenaan di Negeri Sembilan.
Perdana Menteri berkata, sebarang perkembangan berkaitan pentadbiran Negeri Sembilan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Sementara itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, beliau akan bertemu Anwar dalam masa terdekat bagi membincangkan perkara tersebut.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pertemuan itu antara lain akan menyentuh tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri Barisan Nasional (BN) yang menarik sokongan terhadap kerajaan negeri dipimpin Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
Pada Isnin, Datuk Seri Aminuddin Harun menerusi sidang medianya menegaskan, beliau kekal sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan meskipun 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN) menarik sokongan terhadapnya.