KATHMANDU: Himalaya kini semakin menghampiri titik kritikal apabila glasier mencair lebih pantas berbanding sedekad lalu, sekali gus mengancam sumber bekalan penduduk ketika rantau itu dijangka mencapai 'kemuncak air' menjelang pertengahan abad ini, menurut kajian baru-baru ini.
Kajian diterbitkan oleh firma perunding kelestarian, Systemiq bersama Integrated Mountain Initiative, International Centre for Integrated Mountain Development dan GB Pant National Institute of Himalayan Environment di India itu mendapati pencairan glasier menyebabkan terbentuknya tasik glasier yang dipisahkan daripada lembah oleh timbunan batu serta ais yang tidak stabil.
Laporan itu turut menyebut tentang kehilangan jisim ais Himalaya yang berlaku pada kadar semakin pantas sejak beberapa dekad lalu. Namun, hanya 21 glasier dipantau rapi secara langsung daripada anggaran 40,000 glasier di seluruh kawasan Hindu Kush-Himalaya iaitu sistem pergunungan yang merentasi lapan negara dari Afghanistan hingga Myanmar.
Di India sahaja, hampir 200 tasik glasier dikenal pasti sebagai ancaman serius termasuk kira-kira 56 yang dikategorikan 'berisiko sangat tinggi', sekali gus mengancam jutaan penduduk di kawasan hilir.
Himalaya menyumbang lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) India, sekali gus menjadikannya komponen penting ekonomi negara yang menjadi sumber kehidupan ratusan juta penduduk.
Walaupun hanya merangkumi kira-kira 18 peratus keluasan India, rantau Himalaya menyumbang kira-kira 35 peratus daripada bencana alam yang berlaku di negara itu.
Laporan itu didedahkan susulan kejadian keruntuhan glasier di kawasan Himalaya berhampiran sempadan Nepal-Tibet pada akhir Ogos yang mencetuskan siri tanah runtuh dahsyat dan banjir lumpur di kawasan lembah sekitarnya.
Sekurang-kurangnya 1,300 orang disahkan maut manakala lebih 5,300 lagi masih hilang di Nepal dan wilayah Tibet, China.
'Kemuncak air' merujuk kepada tempoh apabila aliran sungai mencapai paras tertinggi sebelum mula menyusut. Perubahan itu dijangka memberi kesan besar terhadap keselamatan bekalan air di rantau berkenaan. - Sinar Harian