HONG KONG: John Lee, ketua eksekutif Wilayah Pentadbiran Khas Hong Kong (HKSAR), pada Ahad berkata kerajaan HKSAR memandang serius ancaman segera dan jangka panjang terhadap keselamatan makanan dan kesihatan awam susulan pelepasan ke laut air sisa tercemar nuklear oleh Jepun, lapor Xinhua.

Lee memberitahu media bahawa memandangkan kesan pencemaran nuklear adalah kumulatif, dan memandangkan kesannya ke atas ekologi marin kerajaan HKSAR sudahpun melarang import semua produk akuatik dari 10 wilayah di Jepun.

Bagi produk akuatik dari tempat lain di Jepun, Hong Kong menjalankan ujian komprehensif setiap hari, dan ujian pensampelan ke atas produk bukan akuatik, katanya.

Lee berkata kerajaan HKSAR memberi keutamaan kepada keselamatan makanan dan kesihatan awam dan oleh itu ia perlu mengambil langkah yang sewajarnya untuk mengawal risiko segera dan jangka panjang akibat daripada pelepasan air sisa tercemar nuklear ke laut oleh Jepun.

Larangan import Hong Kong membabitkan produk marin dari Metropolis Tokyo dan wilayah Fukushima, Chiba, Tochigi, Ibaraki, Gunma, Miyagi, Niigata, Nagano, dan Saitama.

Larangan import itu diumumkan sehari sebelum Jepun mula melepaskan air sisa tercemar ke Lautan Pasifik daripada Loji Kuasa Nuklear Fukushima Daiichi yang lumpuh, pada 24 Ogos, walaupun tindakan itu dibantah oleh masyarakat tempatan dan antarabangsa.

-- BERNAMA