MANILA: Sekurang-kurangnya 16 orang maut akibat banjir, tanah runtuh dan pelbagai insiden berkaitan cuaca buruk susulan hujan lebat berterusan selama sembilan hari di utara Filipina.
Dalam beberapa kawasan, jumlah hujan yang direkodkan melebihi purata hujan bulanan.
Keadaan cuaca buruk yang diburukkan lagi oleh pengaruh beberapa ribut tropika turut memaksa penutupan sekolah dan pejabat kerajaan di seluruh Pulau Luzon, selain menyebabkan banjir di jalan-jalan utama ibu negara Manila.
Tujuh daripada kematian yang direkodkan berlaku di bandar peranginan Baguio selepas lereng bukit yang tepu air runtuh dan menghempap tiga buah rumah.
Pegawai penyelamat bandar, Esther Banawe berkata, tiga lagi mangsa masih belum ditemukan.
“Usaha menyelamat masih diteruskan, namun ia dilakukan secara manual kerana hujan lebat yang berterusan,” katanya sambil menambah operasi itu dipantau pegawai keselamatan khas berikutan kebimbangan berlaku tanah runtuh susulan.
Menurut peramal cuaca negara, Dan Villamil, jumlah hujan yang direkodkan di Baguio antara 1 hingga 9 Ogos lalu mencecah 1,413.2 milimeter, iaitu sekitar 47 peratus lebih tinggi berbanding purata hujan bulanan bandar itu yang lazimnya berjumlah 963.2 milimeter.
Beliau berkata, beberapa kawasan di Metro Manila turut merekodkan jumlah hujan yang menghampiri 90 peratus daripada purata keseluruhan bulan Ogos.
Selain tujuh kematian di Baguio, enam lagi mangsa maut akibat tanah runtuh di beberapa lokasi lain di Luzon. Seorang lagi dilaporkan lemas, seorang dihempap pokok tumbang manakala seorang lagi maut akibat renjatan elektrik.
Walaupun hujan lebat masih melanda beberapa kawasan pada Isnin malam, Setiausaha Kerja Raya Filipina, Vince Dizon berkata paras air banjir mula menunjukkan tanda-tanda surut.
“Usaha menangani situasi ini masih diteruskan, namun kita perlu menyelesaikan masalah kelemahan sistem mitigasi banjir yang telah berlarutan selama bertahun-tahun malah berdekad-dekad,” katanya.
Beliau turut merujuk kepada skandal projek kawalan banjir yang didakwa bermasalah dan telah mengakibatkan kerugian berbilion dolar wang pembayar cukai.
Filipina merupakan daratan utama pertama yang berdepan laluan taufan di Lautan Pasifik.
Kepulauan itu lazimnya dilanda sekitar 20 ribut dan taufan setiap tahun, menyebabkan berjuta-juta penduduk terdedah kepada risiko bencana secara berterusan.
Saintis turut memberi amaran bahawa perubahan iklim yang didorong aktiviti manusia menjadikan kejadian cuaca ekstrem semakin kerap berlaku, berpanjangan dan lebih intensif. - Agensi