WASHINGTON: Hutang negara Amerika Syarikat (AS) melepasi paras bersejarah AS$40 trilion buat pertama kali, sekali gus menandakan cabaran fiskal yang semakin meruncing di negara ekonomi terbesar dunia itu.
Data Jabatan Perbendaharaan AS menunjukkan jumlah hutang negara kasar mencecah AS$40.05 trilion setakat 18 Ogos 2026.
Pencapaian itu berlaku hanya lima bulan selepas hutang persekutuan melepasi paras AS$39 trilion pada Mac lalu, selepas terlebih dahulu melangkaui AS$38 trilion pada Oktober 2025.
Perkembangan itu mencerminkan kadar pertumbuhan hutang yang semakin pantas dalam tempoh singkat, didorong oleh defisit belanjawan persekutuan yang berterusan serta peningkatan kos pinjaman kerajaan.
Pakar ekonomi menjelaskan, peningkatan hutang negara AS berpunca daripada gabungan beberapa faktor, termasuk kos pembayaran faedah yang kian meningkat susulan beban hutang yang besar dan kadar faedah yang lebih tinggi.
Pada masa sama, perbelanjaan kerajaan bagi program kebajikan seperti Social Security dan Medicare turut bertambah seiring dengan penuaan populasi negara itu.
Pejabat Belanjawan Kongres (CBO) mengunjurkan jumlah hutang negara kasar AS akan terus meningkat kepada AS$63 trilion menjelang 2036.
Defisit tahunan kerajaan persekutuan pula dijangka berkembang daripada sekitar AS$2.1 trilion bagi tahun fiskal semasa kepada AS$3.1 trilion setahun dalam tempoh sedekad akan datang.
Paras hutang AS$40 trilion itu turut menyusuli satu lagi petunjuk membimbangkan apabila hutang yang dipegang oleh orang awam, ukuran yang lazim digunakan bagi membandingkan hutang sesebuah negara dengan saiz ekonominya, mencecah AS$31.27 trilion pada Mac lalu.
Jumlah tersebut mengatasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) AS yang bernilai AS$31.22 trilion, menandakan kali pertama dalam kira-kira 80 tahun hutang awam negara itu lebih besar daripada keseluruhan ekonominya.
Menurut CBO, nisbah hutang awam kepada KDNK dijangka terus meningkat dan berpotensi melepasi rekod 106 peratus yang dicatatkan pada 1946. Nisbah itu diunjurkan mencapai sekitar 120 peratus menjelang 2036 sekiranya trend fiskal semasa berterusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Peter G. Peterson Foundation, Michael A. Peterson berkata, peningkatan hutang negara memberi kesan langsung kepada kos sara hidup rakyat kerana setiap pertambahan hutang menyumbang kepada kadar faedah dan inflasi yang lebih tinggi.
Beliau berkata, pembayaran faedah hutang kini melebihi perbelanjaan pertahanan negara, manakala peningkatan kos pinjaman turut memberi kesan kepada bayaran gadai janji, pinjaman kenderaan dan hutang kad kredit rakyat Amerika.
Menurutnya, hutang yang semakin membengkak juga boleh menjejaskan pertumbuhan ekonomi dengan memperlahankan peningkatan pendapatan isi rumah ketika kos sara hidup terus meningkat.
Dalam laporan prospek fiskalnya, CBO memberi amaran bahawa hutang awam dijangka berkembang lebih pantas berbanding KDNK dalam tahun-tahun mendatang.
Keadaan itu berpotensi memperlahankan pertumbuhan ekonomi, mengurangkan pelaburan sektor swasta dan meningkatkan lagi kos pembayaran faedah kerajaan.
Agensi itu turut memberi amaran bahawa peningkatan hutang yang berterusan boleh mencetuskan risiko krisis fiskal sekiranya pelabur mula hilang keyakinan terhadap kemampuan kerajaan AS mengurus hutangnya.
Keadaan sedemikian boleh menyebabkan kadar faedah meningkat secara mendadak serta mencetuskan gangguan kepada sistem ekonomi dan kewangan global.
Selain itu, tekanan fiskal yang berpanjangan berisiko meningkatkan jangkaan inflasi dan dalam jangka panjang boleh menjejaskan kedudukan dolar AS sebagai mata wang rizab utama dunia.
Peterson menegaskan, masih terdapat pelbagai pilihan dasar yang boleh dilaksanakan bagi menangani cabaran fiskal negara, namun tindakan segera diperlukan untuk memastikan kemakmuran ekonomi dan taraf hidup rakyat dapat dipelihara untuk generasi masa depan. - Agensi