DUNIA
IAEA lulus resolusi wujudkan zon bebas senjata nuklear di Asia Barat

Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Jumaat menerima resolusi yang menggesa penubuhan zon bebas senjata nuklear di Asia Barat. - Gambar fail
ISTANBUL: Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) pada Jumaat menerima resolusi yang menggesa penubuhan zon bebas senjata nuklear di Asia Barat, lapor Anadolu Ajansi (AA).
Pada Persidangan Agung ke-69, resolusi yang dikemukakan Mesir itu diluluskan dengan 120 undi menyokong, tiada menentang dan tujuh berkecuali.
Resolusi berkenaan menggesa semua negara di rantau itu menyertai Perjanjian Mengenai Pengawalan Senjata Nuklear (NPT).
Ia menekankan "keperluan mendesak" agar negara-negara Asia Barat semua aktiviti nuklear mereka tertakluk kepada perlindungan menyeluruh IAEA.Ia menegaskan, langkah sedemikian akan membantu mengukuhkan keamanan dan keselamatan serantau.
Resolusi itu turut menggesa semua pihak terlibat mengambil langkah perlu ke arah mewujudkan zon berkenaan dan menasihatkan negara-negara agar tidak melaksanakan tindakan yang boleh menjejaskan usaha itu.
IAEA juga merayu semua negara, khususnya yang bertanggungjawab mengekalkan keamanan dan keselamatan antarabangsa, untuk memudahkan pelaksanaan resolusi serta memberi sokongan penuh kepada Ketua Pengarah IAEA.
Sehingga zon itu diwujudkan, resolusi menuntut agar negara-negara serantau mengelakkan tindakan seperti membangunkan, menghasilkan, menguji atau memperoleh senjata nuklear, dengan menyifatkan langkah sedemikian sebagai menjejaskan matlamat berkenaan.
Mesir sebelum ini lantang menyuarakan gesaan bagi mewujudkan Asia Barat bebas senjata nuklear.
Pada 13 Sept lalu, Kementerian Luar Mesir mengulangi rayuan agar semua pihak mematuhi NPT "khususnya di Asia Barat," dengan hujah bahawa langkah berkenaan akan memastikan semua negara di rantau itu menyertai perjanjian tanpa pengecualian dan menempatkan kemudahan nuklear mereka di bawah pengawasan IAEA.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami