Skip to main content

Dunia

Ibu bapa Jerman kurang yakin untuk bimbing anak dalam penggunaan AI - Tinjauan

51613208423_WFH.jpg
Ibu bapa berasa lebih berkemahiran menggunakan enjin carian, perkhidmatan pesanan, Wikipedia, laman sesawang berita dan YouTube, namun menghadapi kesukaran dalam mengawal penggunaan telefon pintar. - Gambar hiasan
Advertisement

HAMBURG: Kurang daripada separuh ibu bapa di Jerman berkata mereka "agak yakin" menggunakan platform kecerdasan buatan (AI) dan mampu menerangkan cara menggunakannya kepada anak-anak mereka, menurut tinjauan perwakilan yang dijalankan oleh Yayasan Korber yang berpangkalan di Hamburg.

Hanya 20 peratus daripada responden sangat yakin menggunakan aplikasi AI manakala 48 peratus lagi "agak yakin" dan 28 peratus sangat tidak yakin, menurut kajian yang diterbitkan pada Selasa. Pada masa sama, 55 peratus mahu merapatkan jurang pengetahuan itu.

Tinjauan yang dijalankan pada Mac tahun ini melibatkan 1,004 ibu bapa yang mempunyai anak berusia antara 12 hingga 18 tahun, dengan soalan berkaitan penggunaan Claude, Gemini, DeepSeek dan Copilot.

Ibu bapa berasa lebih berkemahiran dalam menggunakan enjin carian, perkhidmatan pesanan, Wikipedia, laman sesawang berita dan YouTube, namun ramai menghadapi kesukaran dalam mengawal penggunaan telefon pintar. Sebanyak 37 peratus berkata mereka tidak mampu menghalang diri daripada kerap memeriksa telefon atau membawanya ke tempat tidur.

Ramai ibu bapa mahu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai aktiviti dalam talian anak-anak mereka. Sebanyak 35 peratus responden berasa kurang mendapat maklumat mengenai perkara yang dilakukan anak mereka dalam talian pada masa lapang manakala hanya 13 peratus berkata mereka sangat mengetahui aktiviti  berkenaan.

Hampir separuh, iaitu 49 peratus, menganggap keupayaan anak mereka mengesan berita palsu adalah lemah manakala sebanyak 19 peratus percaya mereka sendiri tidak begitu mahir mengenal pasti berita palsu.

Lebih satu perempat, iaitu 27 peratus ibu bapa, turut menghadapi kesukaran membantu anak-anak memilih permainan dalam talian yang sesuai, manakala 28 peratus percaya mereka tidak dapat memberikan sokongan yang mencukupi kepada anak-anak dalam menggunakan aplikasi AI untuk kerja sekolah.

Kira-kira separuh, iaitu 51 peratus, mempunyai peraturan yang jelas mengenai penggunaan telefon pintar dan Internet manakala 43 peratus menetapkan had masa penggunaan.

Lebih separuh menyokong larangan umum penggunaan telefon pintar di sekolah. Sebanyak 57 peratus berpendapat penggunaan media sosial perlu dilarang bagi mereka yang berusia di bawah 16 tahun, manakala satu perempat menyokong larangan umum penggunaan telefon pintar bagi semua pelajar sehingga berusia 14 tahun.

-- BERNAMA-dpa

 

 

Must Watch Video

Advertisement