Skip to main content

Malaysia

Sembilan individu didakwa jadi ahli 'Geng Yunaa'

Anggota polis mengiringi sembilan individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Yunaa' sejak Januari tahun lepas. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR
Anggota polis mengiringi sembilan individu yang didakwa di Mahkamah Sesyen Petaling Jaya hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Yunaa' sejak Januari tahun lepas. - Foto Astro AWANI/SHAHIR OMAR

Advertisement

PETALING JAYA: Sembilan individu termasuk tiga wanita didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan menjadi ahli kumpulan jenayah terancang "Geng Yunaa" sejak Januari tahun lepas.

Mereka ialah Mohamed Amirul Mohamed Razali, Mohd Amirul Naim Mohd Asbie Syaifullah Abdullah, Mohammad Joshua Salman, Lai Kok Hoe, Tham Yong Zhi, Seah Joon Keat dan tiga wanita Nuraslinda Natasha Hanafi, Nur Suhada Benjamin Abdullah dan Aiman Muna Mohamed Razali.

Kesemua sembilan tertuduh berusia antara 18 dan 43 tahun itu mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Dr Syahliza Warnoh.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu melibatkan jenayah terancang yang berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa menjadi ahli kumpulan jenayah terancang "Geng Yunaa" di Centrestage Petaling Jaya, antara Januari 2025 dan 25 Sept 2026 mengikut Seksyen 130V(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum lima tahun dan tidak lebih 20 tahun, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Lina Hanini Ismail tidak menawarkan jaminan kerana kesalahan itu tidak boleh dijamin. 

Mahkamah kemudian menetapkan 7 Dis ini untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding hari ini, Seah diwakili peguam Khailash Sharma, manakala Tham dan Lai diwakili peguam Kelvin Francis. Tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Semalam, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Datuk M Kumar dilaporkan berkata polis berjaya menumpaskan “Geng Yunaa” yang disyaki terbabit dalam 17 kes pelacuran dan pemerdagangan kanak-kanak untuk eksploitasi seks menerusi Ops Angel di Lembah Klang pada 24 hingga 26 Sept lepas.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video

Advertisement