Skip to main content

Dunia

India, Pakistan panggil diplomat masing-masing susulan pertikaian sempadan

India dan Pakistan pada Sabtu saling memanggil diplomat tertinggi masing-masing susulan insiden di sempadan pada Jumaat yang mengorbankan dua warga Pakistan.
India dan Pakistan pada Sabtu saling memanggil diplomat tertinggi masing-masing susulan insiden di sempadan pada Jumaat yang mengorbankan dua warga Pakistan.

Advertisement

NEW DELHI: India dan Pakistan pada Sabtu saling memanggil diplomat tertinggi masing-masing susulan insiden di sempadan pada Jumaat yang mengorbankan dua warga Pakistan.

India menolak dakwaan Islamabad bahawa pasukan keselamatannya membunuh dua orang awam Pakistan yang tidak bersenjata, sebaliknya menegaskan individu terbabit telah memasuki wilayah India secara haram.

Kementerian Luar Pakistan sebelum itu mendakwa, anggota Pasukan Keselamatan Sempadan India (BSF) menggunakan "kekuatan maut tanpa provokasi" terhadap dua warga Pakistan yang tidak bersenjata di sektor Bedian di sepanjang sempadan antarabangsa pada Jumaat.

Dalam satu kenyataan, kementerian itu menegaskan, Pakistan menolak sebarang cubaan untuk melabelkan mangsa yang terkorban sebagai "penyusup."

Pakistan turut memanggil kuasa usaha India bagi mengemukakan bantahan rasmi berhubung insiden berkenaan dan menuntut satu siasatan yang segera, telus serta berwibawa dijalankan.

Bagaimanapun, Kementerian Luar India kemudian menolak apa yang disifatkannya sebagai "dakwaan tidak berasas dan bermotifkan agenda tertentu".

India turut memanggil kuasa usaha Suruhanjaya Tinggi Pakistan bagi membantah apa yang didakwanya sebagai "galakan berterusan terhadap pencerobohan rentas sempadan secara haram dari Pakistan".

Menurut kementerian itu, tiga individu telah memasuki wilayah India di sektor Ferozepur, Punjab dan terus bergerak ke arah pagar sempadan walaupun telah diberikan beberapa amaran oleh BSF supaya kembali ke Pakistan.

"BSF terpaksa mengambil tindakan kerana mereka menimbulkan ancaman keselamatan yang segera," menurut kenyataan tersebut.

India mendakwa, insiden itu mencerminkan "corak jelas pergerakan rentas sempadan berulang kali oleh sindiket dadah bersenjata yang beroperasi dari Pakistan".

New Delhi turut menggesa Islamabad menyiasat aktiviti pencerobohan rentas sempadan dan penyeludupan dadah yang didakwanya berlaku dari negara jiran itu.

Selain itu, India menggesa Pakistan menghormati sempadan antarabangsa, mematuhi perjanjian dua hala dan memastikan pasukan keselamatannya menghalang sebarang pergerakan tanpa kebenaran dari wilayahnya.

Hubungan antara kedua-dua negara yang memiliki senjata nuklear itu terus tegang sejak perang selama empat hari pada 2025, yang disifatkan sebagai konflik paling buruk dalam tempoh beberapa dekad.

Ketegangan itu bertambah selepas serangan militan terhadap pelancong di Kashmir yang ditadbir India mengorbankan 26 orang.

New Delhi menuduh Pakistan menyokong serangan tersebut, namun Islamabad menafikan dakwaan berkenaan. - Agensi

Must Watch Video

Advertisement