Skip to main content

Malaysia

KKM lulus RM 2.5 juta perkukuh kemudahan, operasi HTAR

Dr Dzulkefly melakukan lawatan kerja Menteri Kesihatan ke HTAR berikutan tinjauan komprehensif fasiliti dan perkhidmatan pesakit. - Gambar Astro AWANI
Dr Dzulkefly melakukan lawatan kerja Menteri Kesihatan ke HTAR berikutan tinjauan komprehensif fasiliti dan perkhidmatan pesakit. - Gambar Astro AWANI
Advertisement

KLANG: Kementerian Kesihatan (KKM) meluluskan peruntukan RM2.5 juta kepada Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) bagi memperkukuh aspek keselamatan, kapasiti serta kelancaran aliran pesakit di hospital berkenaan.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, peruntukan itu merangkumi projek fizikal, perolehan peralatan perubatan dan bukan perubatan bagi meningkatkan kemudahan serta kecekapan operasi hospital.

"Sebanyak RM1.59 juta diperuntukkan bagi projek fizikal termasuk RM750,000 untuk menaik taraf sistem pengurusan giliran atau Queue Management System (QMS) di Kompleks Rawatan Harian (ACC).

Advertisement

"Selain itu, RM350,000 diperuntukkan bagi pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) di Kompleks Rawatan Ibu dan Bayi, manakala RM485,000 lagi bagi kerja berkaitan auditorium serta bilik mesyuarat," katanya semasa mengadakan lawatan kerja rasmi ke HTAR, di sini, pada Rabu.

Lawatan itu turut dihadiri Pengarah Bahagian Perkembangan Perubatan KKM, Dr. Nor Hayati Ibrahim; Timbalan Pengarah Kesihatan Selangor, Dr. Md Razis Ramli; serta Pengarah HTAR, Dr. Muhammad Yusof Sibert.

Advertisement

Dalam pada itu kata Dzulkefly, sebanyak RM750,000 turut diluluskan bagi perolehan peralatan perubatan, termasuk kamera dan Video Endoscope Dewan Bedah bernilai RM605,000.

Jelasnya, peruntukan itu turut melibatkan pembelian tiga unit Defibrillator bernilai RM90,000 serta satu unit Diathermy berjumlah RM55,000.

"Bagi peralatan bukan perubatan pula, sebanyak RM160,000 diperuntukkan melibatkan pembelian 250 unit Cardiac Table untuk wad Bangunan Utama bernilai RM100,000.

"Baki RM60,000 digunakan bagi pembelian 50 kerusi berangkai untuk ruang menunggu klinik serta lobi hospital," katanya.

HTAR merupakan antara hospital utama yang menyediakan perkhidmatan kesihatan kepada penduduk di Klang dan kawasan sekitarnya. Penambahbaikan kemudahan serta peralatan hospital penting bagi menyokong kelancaran operasi dan meningkatkan pengalaman pesakit mendapatkan rawatan.

Must Watch Video

Advertisement