Indonesia kenal pasti 700 potensi lokasi harta karun kapal tenggelam

Menurut Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan Indonesia, kargo kapal karam di perairan negara itu mungkin mengandungi artifak dan barangan antik yang mempunyai nilai sejarah dan ekonomi yang tinggi.
JAKARTA: Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan (KKP) mengenal pasti kira-kira 700 lokasi di perairan Indonesia yang berpotensi mengandungi harta karun atau objek berharga daripada kapal karam, lapor agensi berita ANTARA.
Ringkasan AI
- Kementerian Hal Ehwal Maritim dan Perikanan (KKP) Indonesia mengenal pasti kira-kira 700 lokasi di perairan negara itu yang berpotensi mengandungi harta karun dari kapal karam, terutamanya berkaitan dengan kapal China.
- Pengarah Sumber Marin KKP menyatakan bahawa nilai potensi harta karun tersebut masih tidak dapat ditentukan, kerana barangan antik tersebut perlu diperiksa terlebih dahulu sebelum penilaian rasmi dilakukan.
- Sebanyak 13 permit telah dikeluarkan oleh KKP untuk pengambilan muatan kapal karam dari lokasi yang dikenal pasti, namun nilai sebenar harta yang ditemui masih belum didedahkan.
"Sebahagian besar lokasi berada di sepanjang Laluan Sutera, laluan perdagangan purba yang sering digunakan kapal China, khususnya di sekitar Sumatera dan Jawa," jelasnya.
Yorhanita berkata nilai potensi harta karun daripada kapal karam di lokasi berkenaan masih belum dapat ditentukan. Penilaian rasmi akan dijalankan oleh Kementerian Kewangan.
"Nilainya belum dapat dianggarkan. Pengiraan kasar tidak boleh dijadikan rujukan kerana barangan ini adalah antik. Ia perlu diperiksa terlebih dahulu - sama ada masih utuh atau telah rosak, kerana keadaan itu akan memberi impak besar terhadap nilainya," katanya.
Beliau menambah bahawa KKP telah mengeluarkan 13 permit untuk pengambilan muatan kapal karam dari lokasi yang dikenal pasti, dengan sebahagiannya telah menjalani kerja pemulihan. Namun, beliau belum dapat mendedahkan jumlah nilai harta yang ditemui.
Pengurusan kargo kapal karam merupakan satu daripada keutamaan strategik KKP dalam tadbir urus sumber marin. Isu penting lain termasuk pengurusan pemendapan marin, pembangunan biofarmakologi marin dan mampu diri garam.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


