SEPANG: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JDKM) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menggagalkan cubaan menyeludup keluar wang tunai dan dadah serta merampas minuman keras tidak bercukai keseluruhannya bernilai hampir RM1.12 juta dalam empat kes berasingan bulan lepas.
Pengarah Kastam KLIA Zulkifli Muhammad berkata dalam kes pertama pada 2 April, pihaknya dengan kerjasama Pihak Keselamatan Penerbangan (AVSEC), Malaysia Airports KLIA menahan seorang pengembara warga Indonesia di Bangunan Satelit, Ruang Pelepasan Pintu Antarabangsa Terminal 1 kerana disyaki membawa keluar wang tunai RM129,500 tanpa membuat pengisytiharan.
“Pemeriksaan pada satu bagasi milik pengembara itu menemukan wang tunai terbabit yang disembunyikan di dalam beg plastik berwarna hitam.
“Pengembara itu didapati gagal mengikrar di dalam Borang Kastam 7 terhadap amaun tunai yang hendak dibawa keluar dari Malaysia dan melanggar Peraturan 55(1)(b) Peraturan Kastam 2019,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata pengembara itu sepatutnya perlu mendapatkan kelulusan bertulis daripada Bank Negara Malaysia (BNM) terlebih dahulu sebelum membawa wang keluar.
Zulkifli berkata kes disiasat di bawah Seksyen 28B Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiyaan Keganasan (AMLATFPUAA) 2001.
Beliau berkata dalam kes kedua, pihaknya menyerbu sebuah premis di Seri Kembangan pada 7.15 malam 23 April lepas dan menemukan 17.043 liter minuman keras pelbagai jenama tidak bercukai dianggarkan bernilai RM221,566 dengan duti terlibat berjumlah RM430,835.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967 dan Seksyen 74(1)(d) Akta Eksais 1976,” katanya.
Dalam kes ketiga dan keempat pada 24 dan 27 April di Pintu Pelepasan Antarabangsa KLIA Terminal 1, Zulkifli berkata tiga warga tempatan ditahan kerana disyaki cuba menyeludup keluar dadah.
Menurutnya pada 9.20 pagi 24 April, Pasukan Operasi Bahagian Penguatkuasaan JKDM KLIA dengan kerjasama AVSEC Malaysia Airports KLIA menahan seorang lelaki tempatan yang hendak menaiki penerbangan ke Hong Kong, selepas hasil imbasan bagasi dibawanya menemukan imej disyaki dadah.
"Pemeriksaan lanjut pada bagasi itu menemukan dadah disyaki ketamin seberat 3.6719 kilogram bernilai RM183,595. Kes diserahkan kepada Bahagian Penguatkuasaan KLIA untuk siasatan lanjut," katanya.
Zulkifli berkata pada 5.17 petang 27 April pula, pihaknya dengan kerjasama AVSEC, Malaysia Airports KLIA menahan dua wanita tempatan yang hendak menaiki penerbangan ke Taipei, Taiwan selepas hasil imbasan terhadap bagasi mereka turut menemukan imej mencurigakan disyaki dadah.
"Pemeriksaan pada bagasi milik kedua-dua wanita itu menemukan dadah disyaki ketamin dengan berat kasar 4.4836 kilogram dianggar bernilai RM224,180," katanya.
Beliau berkata kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.
-- BERNAMA