Skip to main content

Dunia

Indonesia teruskan langkah penstrukturan semula anak syarikat kerajaan - Prabowo

Indonesia’s President Prabowo Subianto attends a meeting with Russia’s President Vladimir Putin at the Kremlin in Moscow, Russia, April 13, 2026. Igor Ivanko/Pool via REUTERS
Presiden Prabowo terkejut apabila mengetahui, selepas memegang jawatan, bahawa Indonesia mempunyai lebih 1,000 BUMN, jauh melebihi anggaran awalnya iaitu sekitar 300 syarikat. - Gambar fail/Reuters
Advertisement

JAKARTA: Indonesia sedang meneruskan langkah penstrukturan semula syarikat milik kerajaan (BUMN), dengan Presiden Prabowo Subianto menyatakan bahawa lebih 200 entiti yang mengalami kerugian telah ditutup sebagai sebahagian daripada usaha lebih luas untuk, antara lain, meningkatkan kecekapan dan memperkukuh tadbir urus serta memaksimumkan pulangan daripada aset kerajaan.

Prabowo berkata, beliau terkejut apabila mengetahui, selepas memegang jawatan, bahawa Indonesia mempunyai lebih 1,000 BUMN, jauh melebihi anggaran awalnya iaitu sekitar 300 syarikat.

"Kami telah menutup kira-kira 240 (entiti). Syarikat-syarikat ini tidak menghasilkan sebarang keuntungan, sebaliknya hanya membawa kerugian," katanya dalam ucapan di Persidangan Kebangsaan Ulama Nahdlatul Ulama 2026 di Bangkalan, Jawa Timur, pada Selasa, yang disiarkan secara langsung di platform YouTube.

Danantara Indonesia, sebuah dana kekayaan negara yang ditubuhkan oleh Presiden pada Februari 2025, telah ditugaskan untuk mengurus dan menstruktur semula lebih 1,000 BUMN.

Menurut Prabowo, penutupan berkenaan telah menghasilkan penjimatan bernilai trilion rupiah dengan menghapuskan kos pengurusan dan operasi yang tidak diperlukan.

Beliau berkata, banyak entiti berkenaan mengekalkan lembaga pengarah dan pesuruhjaya walaupun mencatatkan kerugian berterusan, sambil menambah bahawa sebilangan eksekutif terus menerima gaji dan bonus yang tinggi biarpun syarikat mereka tidak menguntungkan.

Pada Isnin, Setiausaha Kabinet, Teddy Indra Wijaya berkata, Indonesia telah menyatukan 258 entiti BUMN di bawah program transformasi yang sedang berjalan, dan menambah bahawa sasaran seterusnya adalah untuk menyatukan sekitar 300 entiti dalam masa terdekat.

Indonesia kini mempunyai kira-kira 1,077 entiti BUMN, menurut data yang dibentangkan semasa pertemuan antara Prabowo dan Ketua Pegawai Eksekutif Danantara, Rosan Roeslani pada awal minggu ini.

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement