MANILA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menggesa semua pihak yang terlibat dalam konflik di Myanmar supaya melindungi orang awam serta memastikan akses bantuan kemanusiaan dapat disalurkan tanpa sebarang halangan.
Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres berkata, keadaan kemanusiaan di Myanmar semakin meruncing dengan penderitaan rakyat negara itu kini berada pada tahap amat membimbangkan, sekali gus menuntut tindakan segera bagi melindungi orang awam serta memastikan pematuhan undang-undang antarabangsa.
"Penderitaan manusia kini berada pada tahap yang amat membimbangkan.
"(Justeru) saya menggesa semua pihak supaya melindungi orang awam, mematuhi undang-undang antarabangsa serta memastikan bantuan kemanusiaan dapat disalurkan dengan selamat, berterusan dan tanpa halangan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sidang Kemuncak ASEAN-PBB ke-16 di sini, pada Ahad.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim turut menghadiri sidang kemuncak itu dengan mengetuai delegasi Malaysia.
Guterres turut memuji usaha ASEAN dalam mengekalkan keamanan dan kestabilan serantau, termasuk kemajuan rundingan Kod Tatalaku (COC) di Laut China Selatan serta peranan blok itu dalam memastikan gencatan senjata antara Kemboja dan Thailand terus dipatuhi.
Bagaimanapun, beliau menegaskan konflik berterusan di Myanmar kekal sebagai kebimbangan serius yang memerlukan perhatian segera.
Beliau turut membangkitkan nasib masyarakat Rohingya yang masih menantikan keadilan hampir sedekad selepas dipaksa meninggalkan kediaman mereka secara beramai-ramai.
Selain itu, Guterres turut menegaskan komitmen PBB untuk menyokong pelaksanaan Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN serta penyelesaian politik yang inklusif dan diterajui Myanmar sendiri.
Katanya, penyelesaian itu perlu menangani punca utama konflik, menamatkan keganasan di seluruh negara serta memastikan pembebasan segera dan tanpa syarat semua individu yang ditahan secara sewenang-wenangnya.
Beliau berkata, rakyat Myanmar juga perlu diberi ruang untuk melaksanakan hak mereka secara bebas dan aman.
Dalam perkembangan berkaitan, Guterres mengucapkan tahniah kepada Filipina atas kejayaan pelaksanaan pilihan raya di Wilayah Autonomi Bangsamoro di Mindanao Islam (BARMM), yang disifatkan sebagai pencapaian penting dalam memperkukuh proses damai di wilayah berkenaan.
Sementara itu, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, berkata kerjasama antarabangsa yang lebih kukuh penting bagi mempercepat kemajuan ke arah Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), dengan tempoh kurang empat tahun lagi sebelum sasaran 2030.
Beliau berkata, hanya 36 peratus daripada sasaran SDG yang boleh diukur kini berada pada landasan tepat untuk dicapai.
Justeru, katanya, usaha mencapai matlamat itu memerlukan iltizam politik baharu, kerjasama lebih erat dengan sektor swasta serta pendekatan berasaskan bukti yang mengambil kira keperluan negara anggota, khususnya negara membangun.
Marcos berkata, kerjasama ASEAN-PBB turut merangkumi aspek keamanan dan keselamatan, integrasi ekonomi, pengurusan bencana, tindakan iklim serta perlindungan masyarakat rentan.