Skip to main content

Malaysia

Mahkamah tolak permohonan Mukhriz dalam isu cukai lebih RM5 juta

Mahkamah turut memerintahkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu membayar kos sebanyak RM5,000 kepada HASiL. - Gambar fail
Mahkamah turut memerintahkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu membayar kos sebanyak RM5,000 kepada HASiL. - Gambar fail

Ringkasan AI

  • Mahkamah Tinggi menolak permohonan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mencabar Notis Taksiran Tambahan HASiL berjumlah lebih RM5 juta bagi tahun 2017 hingga 2019.
  • Hakim memutuskan isu berbangkit perlu diputuskan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan melalui mekanisme rayuan berkanun di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.
  • Mahkamah mengarahkan Mukhriz membayar kos RM5,000 kepada HASiL, satu-satunya responden yang kekal dalam prosiding tersebut.
Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk mencabar tindakan Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASiL) mengeluarkan Notis Taksiran Tambahan berjumlah lebih RM5 juta bagi tahun taksiran 2017 hingga 2019.

Hakim Datuk Azizan Md Arshad memutuskan bahawa mahkamah menerima hujahan HASiL bahawa isu-isu dibangkitkan perlu terlebih dahulu diputuskan Pesuruhjaya Khas Cukai Pendapatan (PKCP) menerusi mekanisme rayuan berkanun di bawah Akta Cukai Pendapatan 1967.

"Mahkamah ini menerima hujahan Lembaga Hasil Dalam Negeri bahawa semua isu berkenaan perlu terlebih dahulu dibentangkan di hadapan PKCP. Isu-isu itu hendaklah diputuskan menerusi mekanisme rayuan berkanun di bawah Akta Cukai Pendapatan (ACP) 1967.

Advertisement

“Mahkamah mendapati permohonan ini merupakan satu cubaan untuk mengetepikan proses yang telah ditetapkan oleh undang-undang.

"Perayu (Mukhriz) telah mengemukakan rayuan kepada PKCP di bawah Seksyen 99 Akta Cukai Pendapatan, namun tiada keadaan luar biasa membolehkan permohonan semakan kehakiman ini diteruskan. Oleh itu, mahkamah mendapati permohonan ini merupakan satu penyalahgunaan proses mahkamah," katanya.

Advertisement

Mahkamah turut memerintahkan Presiden Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu membayar kos sebanyak RM5,000 kepada HASiL, satu-satunya responden yang masih kekal dalam prosiding berkenaan.

Pada 2 Jan 2025, Mahkamah Tinggi membenarkan Mukhriz memulakan prosiding semakan kehakiman susulan permohonan yang difailkan pada 20 Dis 2024.

Pada awalnya, beliau menamakan Ketua Pengarah HASiL, Menteri Kewangan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Kerajaan Malaysia masing-masing sebagai responden pertama, kedua dan ketiga.

Namun pada 24 Julai 2025, Mahkamah Tinggi membenarkan Anwar dan kerajaan digugurkan sebagai responden, sekali gus menjadikan Ketua Pengarah HASiL sebagai satu-satunya responden dalam prosiding berkenaan.

Dalam permohonannya, bekas Menteri Besar Kedah itu memohon perintah untuk membatalkan keputusan HASiL mengeluarkan notis taksiran tambahan bagi tahun taksiran 2017 hingga 2019 berjumlah RM5,020,707.18 atas alasan keputusan itu menyalahi undang-undang dan tidak munasabah.

Beliau turut memohon perisytiharan bahawa penalti dikenakan terhadapnya di bawah Seksyen 113(2) Akta Cukai Pendapatan 1967 adalah terbatal dan tidak sah serta melampaui kuasa yang diperuntukkan oleh undang-undang (ultra vires).

-- BERNAMA

Must Watch Video

Advertisement