Ringkasan AI
- Seorang lelaki warga emas yang hilang ketika luncur angin di Tanjung Bungah ditemui meninggal dunia, dipercayai akibat lemas.
- Mayat Dr Khaw Chun Sein, 74, ditemukan terdampar di pesisir pantai berhampiran Straits Quay Retail Marina pada 9.56 pagi dan disahkan meninggal dunia oleh KKM.
- Operasi mencari dan menyelamat melibatkan pelbagai agensi meliputi kawasan 94.76 batu nautika persegi di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
GEORGE TOWN: Seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan Tanjung Bungah di sini semalam ditemukan meninggal dunia hari ini, dipercayai akibat lemas.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang John Sagun Francis berkata mangsa, Dr Khaw Chun Sein, 74, ditemukan terdampar di atas batu di pesisir pantai berhampiran Straits Quay Retail Marina pada 9.56 pagi tadi.
"Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan (KKM) yang berada di lokasi. Selepas pengecaman dibuat dan disahkan oleh waris, mayat lelaki tersebut dihantar ke Hospital Pulau Pinang untuk dibedah siasat," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada hari kedua bermula 9 pagi tadi meliputi kawasan seluas 94.76 batu nautika persegi yang dibahagikan kepada lima sektor pencarian laut dan satu sektor pencarian udara di sekitar lokasi terakhir mangsa dilaporkan hilang.
Semalam, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada 7.42 malam daripada orang awam yang melaporkan seorang lelaki tidak dapat dikesan ketika melakukan aktiviti luncur angin di perairan berhampiran sebuah kelab renang di Tanjung Bungah.
Berikutan itu operasi SAR dikoordinasikan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dengan bantuan JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Bomba Sukarela (PBS).
-- BERNAMA