TEHRAN: Kadar inflasi tahunan Iran meningkat kepada 66 peratus ketika ekonomi negara itu terus berdepan tekanan akibat sekatan antarabangsa, kelemahan mata wang dan kesan konflik serantau.
Laporan terbaharu Agensi Berita Buruh Iran (ILNA) yang memetik data rasmi Pusat Perangkaan Iran menunjukkan krisis kos sara hidup di negara berkenaan semakin membebankan isi rumah, khususnya di kawasan bandar.
Bagi inflasi titik-ke-titik yang mengukur perubahan harga pengguna berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, kadar itu meningkat kepada 87.9 peratus pada Julai lalu.
Data berkenaan turut menunjukkan harga makanan dan minuman melonjak 128.1 peratus berbanding setahun lalu, dengan sekurang-kurangnya lapan kumpulan barangan makanan utama mencatat peningkatan melebihi 100 peratus.
Sementara itu, kadar inflasi bulanan bagi Julai meningkat 3.1 peratus, mencerminkan tekanan harga yang masih berterusan dalam ekonomi negara tersebut.
Laporan itu turut menyebut kos sara hidup minimum bagi sebuah keluarga pekerja kini dianggarkan mencecah 90 juta toman (kira-kira AS$1,385) sebulan.
Bagaimanapun, gaji minimum bulanan di negara itu dilaporkan hanya sekitar 25 juta toman (kira-kira RM1,560), sekali gus menjadikannya tidak mencukupi untuk menampung keperluan asas kebanyakan isi rumah.
Mengulas keadaan itu, aktivis buruh Iran Faramarz Toufighi berkata peningkatan kos sara hidup yang mendadak menyebabkan ramai pekerja hanya mampu menampung keperluan asas keluarga mereka untuk tempoh yang singkat setiap bulan.
Beliau berkata jurang yang semakin melebar antara pendapatan dan kos sara hidup menyebabkan ramai pekerja berdepan kesukaran untuk memenuhi keperluan harian bagi baki tempoh bulan berkenaan.