BANGKOK: Polis Thailand hari ini menahan tiga lelaki yang dipercayai menjual pistol kepada remaja berusia 14 tahun yang melepaskan tembakan rambang di pusat beli-belah Siam Paragon, di sini, pada Selasa lalu.

Dua suspek terbabit ditahan awal pagi tadi oleh pegawai di wilayah Yala di selatan Thailand, sementara individu ketiga telah berada dalam tahanan polis.

Memetik laporan AFP, seorang pegawai kanan polis Yala memaklumkan pihaknya menyerbu rumah suspek untuk mencari lebih banyak bukti berkaitan kes tersebut.

Menurut laporan media Thailand, salah seorang suspek disyaki mengubah suai pistol, manakala dua lagi dipercayai menjual senjata itu dan mengeluarkan wang dari mesin ATM.

Dalam kejadian Selasa lalu, seorang wanita dari China dan Myanmar terkorban, manakala tujuh yang lain cedera ditembak.

Suspek berjaya ditahan pada hari kejadian dan akan didakwa atas tuduhan cubaan membunuh, membawa serta melepaskan tembakan di tempat awam, dan memiliki senjata api tanpa lesen.

Insiden tersebut turut mencetuskan gesaan baharu agar kawalan senjata yang lebih ketat di negara itu.