WASHINGTON: Presiden Joe Biden mengarahkan supaya bendera Amerika Syarikat dikibarkan separuh tiang selepas kejadian tembakan di sebuah sekolah Kristian di Nashville, Tennessee, menurut White House dalam satu pengisytiharan.

"Sebagai tanda penghormatan kepada mangsa keganasan yang dilakukan pada 27 Mac 2023, di Nashville, Tennessee, menurut Perlembagaan dan undang-undang Amerika Syarikat, saya dengan ini mengarahkan bendera hendaklah dikibarkan separuh tiang di Rumah Putih dan di semua bangunan dan kawasan awam, di semua pos tentera, dan di semua kapal tentera laut Kerajaan Persekutuan di District of Columbia dan di seluruh Amerika Syarikat serta Wilayahnya sehingga matahari terbenam, 31 Mac 2023.

"Saya juga mengarahkan bahawa bendera itu hendaklah dikibarkan separuh tiang untuk tempoh masa yang sama di semua kedutaan Amerika Syarikat, legasi, pejabat konsular, dan kemudahan lain di luar negara, termasuk semua kemudahan tentera dan kapal dan stesen tentera laut," menurut White House.

Penjenayah dalam kes tembak di sebuah sekolah swasta di Tennessee Amerika Syarikat dikenali sebagai Audrey Hale, 28, kata Ketua Polis Nashville John Drake dalam sidang media.

Hale dikenal pasti sebagai lelaki transgender dan dipercayai pernah bersekolah di sekolah itu, kata Drake.

Insiden tembakan pada Isnin menyebabkan enam orang terbunuh termasuk tiga kanak-kanak berumur bawah 10 tahun, lapor Sputnik.

Suspek dilaporkan terbunuh dalam kejadian itu hasil tindakan pantas polis.

--BERNAMA-SPUTNIK