DUNIA
Interpol tahan 219 penjenayah dalam operasi pemerdagangan manusia

Operasi itu memberi tumpuan kepada rangkaian jenayah yang mengeksploitasi mangsa untuk tujuan seksual, buruh paksa dan mengemis. - Gambar hiasan
ISTANBUL: Operasi antipemerdagangan manusia antarabangsa utama melakukan 219 tangkapan dan mengenal pasti 1,374 mangsa yang berpotensi, termasuk 153 kanak-kanak, di 39 negara, lapor Agensi Anadolu (AA).
Ringkasan AI
- Operasi Global Chain, yang diketuai oleh Austria dan melibatkan Europol, Frontex, dan Interpol, telah menahan 219 individu dan mengenal pasti 1,374 mangsa berpotensi pemerdagangan manusia di 39 negara.
- Operasi yang dijalankan pada 3-9 Jun memberi tumpuan kepada rangkaian jenayah yang mengeksploitasi mangsa untuk tujuan seksual, buruh paksa, dan mengemis paksa, termasuk 153 kanak-kanak.
- Hasil operasi, 276 siasatan baharu dibuka, 362 suspek tambahan dikenal pasti, dan 2,074 aset jenayah dirampas, termasuk wang tunai dan peralatan, serta 363 dokumen palsu dikesan.
Hasilnya, pihak berkuasa membuka 276 siasatan baharu dan mengenal pasti 362 suspek tambahan. Mereka juga merampas 2,074 aset jenayah termasuk wang tunai dan peralatan serta mengesan 363 dokumen palsu, menurut laporan Interpol.
Semakan terhadap pangkalan data global Interpol menghasilkan 12 padanan, termasuk dua individu yang dikehendaki di bawah notis merah Interpol.
"Operasi seperti Global Chain menunjukkan bahawa tiada negara atau benua yang kebal terhadap pemerdagangan manusia dan eksploitasi. Sama ada dilakukan oleh ahli keluarga atau kumpulan jenayah terancang, kesannya terhadap mangsa sangat dahsyat.
"Sebagai komuniti penguatkuasaan undang-undang global, kami komited untuk berkongsi maklumat penting bagi membawa pelaku ke muka pengadilan," kata Richard Chambers, pengarah jenayah terancang Interpol.
-- BERNAMA
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami