Skip to main content

Dunia

Iran bidas ancaman luar, isytihar kuasa mutlak di Selat Hormuz

Sumber: Screengrab/CNN
Ebrahim Azizi berkata sebarang keputusan berkaitan selat itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa angkatan tentera Iran dan tidak boleh dicabar pihak luar. -Gambar fail
Advertisement

TEHRAN: Iran menegaskan Selat Hormuz berada di bawah kedaulatan negara itu susulan tindakan menutup semula laluan maritim strategik berkenaan.

Pengerusi Suruhanjaya Keselamatan Negara dan Dasar Luar Parlimen Iran, Ebrahim Azizi, berkata sebarang keputusan berkaitan selat itu terletak sepenuhnya di bawah bidang kuasa angkatan tentera Iran dan tidak boleh dicabar pihak luar.

Beliau turut memberi amaran agar tiada pihak mempertikai kedaulatan negaranya ketika rundingan di antara Amerika Syarikat (AS) dan Iran sedang berlangsung berhubung situasi keselamatan di Asia Barat.

"Anda buat ancaman; kami ambil tindakan. Selat Hormuz bukan kasino peribadi anda mahupun halaman belakang lanun zaman moden; ini perairan berdaulat Iran, dan keputusan mutlak terletak di tangan rakyat Iran yang mulia serta angkatan tenteranya yang berani.

“Sebarang keputusan mengenai Selat Hormuz adalah di bawah bidang kuasa Republik Islam Iran dan tidak boleh dicabar oleh mana-mana pihak,” katanya seperti dipetik media Iran.

 

 

Penutupan semula selat berkenaan dilakukan sebagai tindak balas terhadap serangan berterusan di Lubnan, yang turut menjejaskan pergerakan kapal komersial global di laluan minyak utama dunia.

Data firma perisikan maritim Windward menunjukkan hanya 12 kapal merentasi selat itu pada Ahad, berbanding 35 kapal pada hari sebelumnya, dengan sebahagian kapal dilaporkan mematikan sistem pengenalan automatik masing-masing.

Perkembangan itu mencerminkan pendekatan berhati-hati dalam kalangan pegawai kanan Tehran terhadap komitmen Washington dalam rundingan semasa.

Dalam pada itu, pemimpin Iran terus menyuarakan kebimbangan terhadap kepercayaan kepada AS, merujuk keputusan Washington menarik diri daripada perjanjian nuklear Pelan Tindakan Bersama Komprehensif pada 2018, selepas perjanjian itu dimeterai pada 2015.

Must Watch Video

Advertisement