TEHRAN: Orang awam merangkumi kira-kira 45 peratus daripada mangsa yang terkorban dalam perang terbaharu AS-Israel terhadap Iran, sekali gus mendedahkan kesan buruk terhadap golongan bukan pejuang, lapor Agensi Berita Republik Islam (IRNA).
Penasihat di Yayasan Hal Ehwal Syuhada dan Veteran Iran, Jamshid Nazmi pada Ahad memaklumkan bahawa seramai 3,468 orang terkorban dalam perang yang bermula pada 28 Februari itu, dengan 1,460 daripadanya - kira-kira 45 peratus - dikenal pasti sebagai orang awam.
Advertisement
Bercakap dalam satu sidang media, beliau berkata mangsa dalam kalangan orang awam termasuk wanita, lelaki, kanak-kanak dan warga emas yang tidak berada di tapak ketenteraan semasa serangan berlaku.
Beliau menyifatkan keganasan itu sebagai amat dahsyat dan memberi kesan mendalam kepada rakyat Iran, sambil menambah bahawa skala kematian orang awam telah menarik simpati di dalam Iran mahupun daripada pemerhati antarabangsa.
Nazmi turut mengetengahkan sokongan padu rakyat terhadap Angkatan Tentera Iran sepanjang dua bulan lepas, dengan menyatakan bahawa kehadiran dan solidariti berterusan orang awam mencerminkan sokongan nasional terhadap usaha pertahanan negara itu.
Mengenai pembunuhan beramai-ramai pelajar perempuan di Minab, beliau berkata rancangan sedang diatur untuk mendokumentasi dan mendedahkan butiran insiden itu serta membina tugu peringatan di lokasi kejadian bagi memperingati mangsa.
Dalam kejadian yang berlaku pada hari pertama perang di Bandar Minab yang terletak di selatan negara itu, lebih 170 pelajar perempuan terbunuh dalam serangan udara AS-Israel.
-- BERNAMA-IRNA