TEHRAN: Jurucakap Kementerian Luar Iran mengecam tindakan Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menyerang kapal komersial membawa warga India, menyifatkannya sebagai “kejam” dan melanggar undang-undang antarabangsa.
Dalam kenyataan di platform X, jurucakap tersebut, Esmaeil Baghaei, berkata serangan tentera AS terhadap kapal berkenaan telah mengorbankan sekurang-kurangnya tiga rakyat India.
Beliau menyifatkan tindakan itu sebagai bukti jelas dasar Washington yang menurutnya bersifat “rompakan bersenjata dan lanun negara”.
“Serangan ini adalah bukti jelas dasar berterusan AS yang berasaskan rompakan bersenjata dan lanun negara,” katanya.
The brutal U.S. attacks on Indian commercial vessels which have killed at least three Indian nationals, stand as clear evidence of America’s ongoing policy of armed robbery and State piracy.
We extend our sympathies to the families and friends of the slain Indian sailors and…— Esmaeil Baqaei (@IRIMFA_SPOX) June 11, 2026
Kenyataan keras itu dibuat di tengah ketegangan yang semakin meningkat antara Iran dan AS, dengan kedua-dua pihak melancarkan serangan balas di rantau Asia Barat, khususnya di sekitar Selat Hormuz.
Insiden terhadap kapal yang membawa kru warga India berlaku apabila tentera AS menyerang sebuah kapal tangki komersial berhampiran perairan Oman sebagai sebahagian daripada sekatan maritim terhadap penghantaran minyak berkaitan Iran.
Serangan tersebut dilaporkan menyebabkan sekurang-kurangnya tiga pelaut India terbunuh, manakala beberapa yang lain berjaya diselamatkan oleh pihak berkuasa.
Susulan insiden itu, kerajaan India turut menggesa supaya serangan ke atas kapal komersial dihentikan serta memanggil wakil diplomatik AS bagi menyuarakan bantahan rasmi.
Pihak berkuasa India menegaskan bahawa keselamatan pelaut mereka menjadi keutamaan dan menyeru penyelesaian melalui dialog bagi meredakan ketegangan di rantau tersebut.
Ini bukan kali pertama Tehran melontarkan tuduhan keras terhadap Washington berkaitan operasi maritimnya.
Sebelum ini, Baghaei turut menuduh tindakan AS merampas kapal sebagai “perompakan di laut lepas” serta pelanggaran terang-terangan terhadap undang-undang antarabangsa dan kebebasan pelayaran.
Iran berulang kali menegaskan bahawa operasi tentera AS di perairan antarabangsa bukan sahaja mencetuskan ketegangan, tetapi juga mengancam keselamatan laluan perdagangan global, khususnya di Selat Hormuz yang merupakan laluan penting bekalan tenaga dunia.
Penganalisis memberi amaran bahawa insiden melibatkan kapal komersial dan korban warga asing boleh menambah tekanan diplomatik serta meningkatkan risiko konflik lebih luas di rantau itu.
Selagi operasi ketenteraan dan sekatan maritim berterusan, situasi di Asia Barat dijangka kekal tegang, dengan implikasi besar terhadap keselamatan maritim dan pasaran tenaga global.