WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, mendakwa rundingan dengan Iran sedang berlangsung dan menyifatkan ia sebagai “peluang terakhir” untuk Tehran mencapai perjanjian bagi menamatkan konflik yang berlarutan selama lima bulan.
Namun, Iran menafikan sebarang rundingan dengan Washington sedang diadakan atau dirancang.
Trump berkata perbincangan itu berlangsung atas permintaan Iran serta beberapa negara Teluk termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar.
Beliau menggesa Tehran memanfaatkan peluang tersebut untuk memeterai apa yang disifatkannya sebagai “dokumen yang baik” bagi menamatkan krisis semasa.
“Kami sedang bercakap sekarang. Ini peluang terakhir bagi mereka untuk menandatangani perjanjian yang baik,” kata Trump kepada pemberita di White House.
Bagaimanapun, jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmaeil Baghaei, menegaskan tiada rundingan dengan AS sedang berlangsung dan tiada sebarang pertemuan dijadualkan.
Menurutnya, satu-satunya perbincangan yang sedang diadakan melibatkan Oman berhubung pengurusan Selat Hormuz.
Percanggahan kenyataan daripada kedua-dua pihak mencetuskan keraguan mengenai kemungkinan penyelesaian diplomatik dalam masa terdekat.
Seorang sumber kanan Iran turut dilaporkan berkata tiada rundingan dirancang dalam beberapa hari akan datang.
Trump sebelum ini menarik balik rancangan serangan besar-besaran ke atas Iran yang menurutnya telah diluluskan, dengan alasan parameter asas bagi satu perjanjian sudah wujud dan usaha diplomatik perlu diberi peluang.
Beliau juga menegaskan bahawa rundingan tertumpu kepada pembukaan semula Selat Hormuz, laluan perdagangan tenaga terpenting dunia, serta isu program nuklear Iran.
Konflik antara AS, Israel dan Iran yang bermula pada penghujung Februari lalu terus menjadi punca ketegangan di rantau Asia Barat, dengan Selat Hormuz kekal sebagai antara isu utama yang menghalang usaha mencapai penyelesaian damai.