Ringkasan AI
- Aidi Amin Yazid menyifatkan perubahan hubungan antara pemimpin politik sebagai percanggahan dalam landskap politik negara yang semakin kompleks.
- Beliau menegaskan penggunaan retorik agama untuk mengabsahkan sekutu politik atau memburukkan lawan adalah tidak wajar.
- Aidi Amin menekankan kepentingan kekuatan akar umbi, pengurusan sumber manusia dan komunikasi parti dalam menentukan sokongan pengundi.
KUALA LUMPUR: Landskap politik semasa disifatkan sebagai satu 'komedi kesilapan' apabila pemimpin yang pernah menjadi musuh politik kini diraikan sebagai wira pihak yang sama.
Timbalan Setiausaha Agung PKR, Aidi Amin Yazid berkata perubahan hubungan antara parti dan pemimpin politik yang dahulunya saling mengkritik mencerminkan percanggahan dalam landskap politik negara yang semakin kompleks.
“Pemimpin yang dahulunya saling mengkritik kini boleh bekerjasama, malah ada yang diraikan sebagai sekutu politik.
"Keadaan ini memperlihatkan percanggahan dalam landskap politik semasa,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Aidi Amin turut menyuarakan kebimbangan terhadap penggunaan retorik agama untuk mengabsahkan kedudukan sekutu politik dan memburukkan pihak lawan.
“Agama tidak sepatutnya digunakan untuk menghalalkan tindakan sekutu politik atau memburukkan pihak lawan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata keputusan beberapa pilihan raya negeri sebelum ini tidak boleh ditafsirkan hanya berdasarkan faktor penyatuan undi Melayu, sebaliknya turut dipengaruhi kekuatan jentera akar umbi, pengurusan sumber manusia dan keberkesanan strategi komunikasi parti.
Beliau berkata parti politik perlu memperkukuh kehadiran di peringkat akar umbi selain memastikan pengurusan tenaga kerja dan komunikasi dilaksanakan secara tersusun.
Menurutnya, keputusan pilihan raya itu juga tidak semestinya menggambarkan pengundi tidak mengetahui prestasi Kerajaan MADANI atau penglibatan diplomatik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di peringkat antarabangsa.
Sebaliknya, keterlihatan jenama politik dan keupayaan parti mendekati pengundi di peringkat akar umbi kekal sebagai faktor penting dalam menentukan sokongan.
“Pada asasnya, ia bergantung kepada jenama politik mana yang mempunyai keterlihatan lebih tinggi,” katanya.
Mengulas perkembangan wacana politik di media sosial, Aidi Amin berkata sentimen masyarakat boleh diukur menerusi pelbagai kaedah analisis, namun menterjemahkan dapatan itu kepada strategi politik yang berkesan memerlukan pemahaman lebih mendalam terhadap pengundi.
Menurutnya, pemimpin politik tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada penilaian berasaskan data, sebaliknya perlu memahami nuansa sosial dan budaya yang mempengaruhi pandangan masyarakat.
Beliau turut mengingatkan parti politik supaya tidak memperlekehkan kepercayaan peribadi dan pegangan moral masyarakat ketika berusaha mendapatkan sokongan mereka.
Katanya, konsep hutang budi dalam masyarakat Melayu juga perlu difahami apabila mendekati komuniti berkenaan.
“Walaupun kita mungkin tidak memahami kepercayaan orang lain, itu bukan alasan untuk memperlekehkannya ketika kita masih berusaha mendapatkan sokongan mereka,” katanya.
Beliau berkata tindakan mencabar pegangan moral seseorang berisiko menyebabkan mereka semakin menjauh daripada parti politik, bukannya mengubah pendirian atau pilihan politik mereka.
Sementara itu, Aidi Amin berpandangan Malaysia memerlukan pasukan kepimpinan dan pengurusan yang terselaras, bukan sekadar bergantung kepada pengaruh seorang tokoh politik untuk menerajui negara.
“Malaysia memerlukan lebih daripada sekadar seorang tokoh politik yang menjadi tumpuan, sebaliknya pasukan pengurusan yang terselaras,” katanya.